KUALA LUMPUR 17 Dis – ITMAX System Berhad (ITMAX) mengumumkan telah memperolehi kontrak bernilai RM36 juta daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) berkuasa kecerdasan buatan (AI) di seluruh Semenanjung Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, kontrak sepanjang 36 bulan itu bertujuan mempertingkat pemantauan dan keselamatan di titik masuk dan keluar utama, dengan pemasangan dijangka bermula pada 1 Februari 2026 dan disiapkan dalam tempoh lima bulan.
Pelaksanaan rasmi projek akan bermula 1 Julai 2026.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata pihaknya amat berbesar hati kerana dipilih oleh JIM untuk projek infrastruktur nasional yang penting ini.
Katanya, kontrak ini merupakan pencapaian penting bagi ITMAX ketika syarikat itu terus memperluas pangkalan pelanggan dan memperkukuh penglibatan dalam inisiatif infrastruktur digital kerajaan persekutuan.
"Dengan memanfaatkan kepakaran terbukti kami dalam infrastruktur digital bersepadu dan penyelesaian berasaskan AI, kami komited untuk melaksanakan sistem CCTV berkuasa AI yang kukuh dan selamat, yang akan meningkatkan keberkesanan operasi serta memperkuat keselamatan sempadan.
Kami menantikan kerjasama rapat dengan JIM bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek ini, sambil menyumbang secara signifikan kepada perlindungan kepentingan nasional dan keselamatan awam,” katanya. - DagangNews.com








