Isu TNB tamatkan PPA: Reneuco jelaskan rasionalisasi portfolio selaras pemulihan korporat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu TNB tamatkan PPA: Reneuco jelaskan rasionalisasi portfolio selaras pemulihan korporat

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 JanReneuco Berhad menegaskan sebarang langkah rasionalisasi portfolio projek dan pengewangan aset yang dinilai adalah sebahagian daripada pendekatan komersial berdisiplin.


Usaha secara berterusan tersebut, jelas kumpulan perkhidmatan kejuruteraan khusus ditubuhkan sejak 1997 itu, masih lagi selaras dengan rancangan pengukuhan tahap kewangan dan pemulihan korporat.


Justeru katanya, perbincangan pasaran berkaitan rasionalisasi beberapa projek perlu dilihat dalam konteks semakan strategik Lembaga Pengarah terhadap aset bukan teras dan aset bermodal tinggi.


"Penamatan perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan pembeli tunggal, Tenaga Nasional Berhad (TNB), turut membuka akses fleksibiliti strategik tambahan," ujar Reneuco dalam satu kenyataan hari ini.


Perkembangan berkenaan jelasnya, termasuk potensi penyertaan dalam Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), tertakluk kepada keperluan kawal selia dan daya maju komersial.


Semalam, kumpulan itu dalam makluman kepda Bursa Malaysia menyatakan, TNB menamarkan PPA projek ladang solar dibangunkan di Pekan, Pahang yang sepatutnya akan berkuat kuasa selama 21 tahun.


Bagaimanapun Reneuco berkata, pihaknya sudah bertindak pantas dengan mengemukakan rayuan kepada TNB bagi memohon pertimbangan semula dan penarikan balik notis penamatan PPA projek berkenaan.


“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengoptimumkan kunci kira-kira, kumpulan ini menilai pelbagai pilihan pengewangan dan penstrukturan strategik bagi aset terpilih,” katanya.


Artikel berkaitan: Reneuco berdepan liabiliti RM45 juta selepas TNB tamatkan PPA projek solar di Pekan


Antara opsyen yang sedang dipertimbangkan kumpulan itu merangkumi pelupusan atau pemindahan aset, penstrukturan semula projek, dan penyertaan dalam rangka kerja tenaga alternatif seperti CRESS.


Di samping itu, Reneuco berhasrat meneroka mana-mana pembeli atau rakan strategik yang berpotensi bagi aset berkaitan tenaga, sekiranya langkah tersebut memenuhi kepentingan terbaik kumpulan.


Ia turut menegaskan keputusan untuk melupuskan atau memindahkan aset tertentu bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya mencerminkan kelaziman amalan organisasi korporat global sendiri.


"Langkah ini kebiasaannya dilaksanakan apabila projek diusahakan itu tidak lagi sejajar dengan keupayaan kewangan semasa atau keutamaan strategik syarikat berkenaan," jelas kumpulan tersebut.


Sebagai penegasan, Reneuco mengesahkan keseluruhan proses itu dilaksanakan secara teratur dan telus, dengan fokus utama untuk memelihara serta memaksimumkan nilai kepada pihak berkepentingan.


Selain itu, kumpulan tersebut turut memberi jaminan akan memastikan kedudukan kewangan adalah stabil dan terus mengukuhkan tadbir urus korporat, khususnya dalam tempoh penstrukturan semula.


Tindakan penjualan atau pemindahan aset jelasnya, tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan operasi, sebaliknya mencerminkan disiplin kewangan dan tadbir urus yang bertanggungjawab.


"Kumpulan memberi jaminan akan terus membuat penjelasan yang tepat pada masanya selaras dengan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia Securities Berhad," kata Reneuco. - DagangNews.com