KUALA LUMPUR 22 Jan — Reneuco Berhad berdepan liabiliti RM45 juta selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menamatkan perjanjian pembelian tenaga (PPA) projek ladang solar 50MWac di Pekan, Pahang.
Tapak itu dibangunkan anak syarikatnya, PKNP Reneuco Suria Sdn Bhd (PRSSB) dengan penamatan dibuat berikutan kegagalan mencapai operasi komersial dalam tempoh 180 hari daripada tarikh lanjutan.
Syarikat yang diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) itu berkata, PPA yang dimeterai pada 19 Ogos 2021 itu sepatutnya berkuat kuasa selama 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial.
"TNB turut memaklumkan penamatan disebabkan pelantikan penerima aset projek dan kegagalan PRSSB memperbaharui jaminan bayaran kelewatan bernilai RM45 juta," maklum Reneuco kepada Bursa Malaysia.
Susulan itu, PRSSB kekal bertanggungjawab membayar penalti kelewatan berjumlah RM45 juta kepada TNB, selari dengan syarat lanjutan tarikh siap projek itu yang sepatutnya pada 29 September 2024.
Bagaimanapun Reneuco berkata, pihaknya sudah bertindak pantas dengan mengemukakan rayuan kepada TNB bagi memohon pertimbangan semula dan penarikan balik notis penamatan PPA projek berkenaan.
Perkembangan terbaharu itu muncul selepas Sunview Group Berhad mengumumkan pada akhir Disember 2025 yang syarikat tersebut akan mengambil alih projek solar ini pada harga tunai RM70 juta.
Reneuco, yang sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan Powernet Berhad, pada asalnya dipilih untuk membangunkan projek solar tersebut bersama-sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Kerja-kerja pembinaan namun terhenti susulan berlaku pula masalah dari segi kewangan selepas syarikat berkenaan diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai yang terjejas di bawah PN17.
Pada Jun 2025, KPMG Corporate Restructuring PLT dilantik oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd sebagai penerima dan pengurus ke atas aset PRSSB yang dicagarkan berikutan kegagalan pembayaran.
Harga dagangan terakhir Reneuco di bursa petang semalam adalah 3.5 sen, dengan permodalan pasaran kumpulan tersebut berjumlah kira-kira RM39.99 juta. - DagangNews.com








