KUALA TERENGGANU 6 Jan – Rundingan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengenai isu tanah ladang komersial telah mencapai keputusan positif.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali berkata rundingan yang telah berlangsung lebih sebulan itu berakhir pada 5 Jan 2026.
“Kami telah berbincang semalam. (Isunya) telah diselesaikan. Keputusannya positif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis yang diadakan menjelang persaraan wajibnya pada 9 Jan 2026.
Zulkifli berkata kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan Felda akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu dalam masa terdekat.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah Terengganu: FELDA, FGV sedang buat semakan untuk selesaikan mengikut undang-undang
Sebelum ini, kerajaan negeri mengeluarkan notis larangan pencerobohan ke atas tanah yang diuruskan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar, selepas mendakwa tanah berkenaan telah dibangunkan tanpa bayaran premium, cukai tanah, atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.
Notis-notis tersebut dihantar serentak kepada pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Walau bagaimanapun, kerajaan negeri melanjutkan tempoh pemulihan yang diberikan kepada Felda selama sebulan lagi sehingga Rabu (7 Jan) susulan perkembangan positif daripada siri rundingan yang diadakan sebelum ini. -- BERNAMA








