KUALA LUMPUR 27 Feb - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengesahkan hanya terdapat dua koperasi yang diiktiraf sebagai mempunyai kedudukan rasmi dan hubungan institusi dengan universiti itu.
Menurut kenyataan UKM di sini hari ini, kedua-dua koperasi berkenaan ialah Koperasi UNIKEB Berhad dan Koperasi Alumni UKM yang turut berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Dua entiti tersebut jelasnya, juga perlu melaksanakan operasi mereka dengan tertakluk kepada pelbagai peraturan serta struktur tadbir urus yang sudah ditetapkan oleh agensi berkenaan.
"Justeru, UKM menegaskan Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) bukan berkait dengan universiti, dan semakan melalui SKM Negeri Selangor mengesahkan ia beroperasi sebagai entiti bebas," katanya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang mendedahkan ada kutipan yuran pelajar dan perbelanjaan tidak mengikut prosedur bagi program menerusi UKMShape.
Artikel berkaitan: Laporan Ketua Audit Negara dedah kepincangan kutipan yuran UKMShape
Ia diberikan autonomi oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi mengurus kewangan dan mencapai objektif tertentu, termasuk program Master of Education dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.
LKAN mendapati, jumlah yuran pelajar bagi dua program itu pada 2024 sepatutnya berjumlah RM60.77 juta, namun, hanya RM2.43 juta dikutip oleh UKM, manakala selebihnya diuruskan sebuah koperasi lain.
Menjelaskan lanjut, UKM tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak luar untuk menggunakan nama, logo, lambang atau identiti korporat universiti itu tanpa kelulusan bertulis yang sah.
"Pihak universiti ini memandang serius sebarang penyalahgunaan identiti institusi dan berhak mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi integriti serta reputasi UKM," tegasnya. - DagangNews.com








