KUALA LUMPUR 15 April – Ketidaktentuan impak kewangan susulan pengambilalihan Digital Nasional Berhad (DNB) terus membelenggu sektor telekomunikasi negara, menurut analisis Kenanga Research.
Situasi tersebut mendorong firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan penarafan 'neutral' meskipun pelaksanaan rangkaian talian teknologi generasi kelima (5G) itu kini sudah memasuki fasa akhir.
Firma penyelidikan itu berkata, persoalan utama masih tertumpu kepada kesan transaksi terhadap pendapatan, komitmen perbelanjaan modal (capex) serta pembayaran dividen bagi syarikat terlibat.
"Walaupun 'permainan' semakin hampir selesai, pelabur masih menunggu kejelasan mengenai hala tuju kewangan DNB serta sumbangan sebenar selepas pengambilalihan itu dimuktamadkan," kata Kenanga.
Dalam perkembangan terkini ujarnya, CelcomDigi Berhad, Maxis Berhad dan YTL Power International Berhad masing-masing sudah membayar RM327.9 juta kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Amaun sama rata tersebut jelas firma berkenaan, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan opsyen jual, yang bakal menyaksikan setiap syarikat terbabit memegang kira-kira 33% pegangan dalam DNB.
Berdasarkan kepada persekitaran ini, Kenanga berpandangan saham pemain talian tetap seperti TIME dotCom Berhad adalah lebih menarik kerana dilihat kurang terdedah kepada risiko tinggi berkaitan DNB.

"Pilihan utama sektor kekal syarikat tersebut, dipacu permintaan kukuh melalui segmen perusahaan, perkhidmatan sambungan pusat data (DC) serta potensi pulangan dividen yang lebih tinggi," katanya.
Selain itu jelas firma tersebut, pertumbuhan pelanggan segmen pascabayar, prabayar dan jalur lebar rumah dijangka kekal sihat, dipacu tawaran berpukal serta liputan rangkaian yang semakin baik.
Kenanga turut menjangka permintaan segmen perusahaan dan borong akan terus menjadi pemacu utama, selari dengan kemasukan besar pelaburan DC dan infrastruktur awan berskala besar ke Malaysia.
Dalam pada itu ujarnya, sentimen sektor telekomunikasi berpotensi bertambah baik sekiranya pemain utama seperti Telekom Malaysia Berhad (TM), TIME dan Maxis meningkatkan kadar pembayaran dividen.
"Syarikat-syarikat berkenaan juga mungkin boleh mengumumkan dividen khas, disokong faktor aliran tunai kukuh serta keperluan kepada capex yang lebih sederhana," tambah firma penyelidikan tersebut.
Kata Kenanga, perkembangan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) juga berpotensi menjadi pemangkin, khususnya usaha Axiata Group Berhad untuk membuka nilai dalam perniagaan edotco Group.
Kumpulan berkenaan jelasnya, dilaporkan berhasrat melaksanakan langkah pelupusan strategik atau monetisasi pegangan dalam syarikat perkhidmatan menara telekomunikasi itu. - DagangNews.com








