Isu kadar tarif import Amerika Syarikat akan dibincang esok - Johari Ghani | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu kadar tarif import Amerika Syarikat akan dibincang esok - Johari Ghani

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

 KUALA LUMPUR 8 Julai - Isu kadar tarif import sebanyak 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia akan dibincangkan esok, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Beliau berkata, proses rundingan itu juga masih boleh dilakukan dengan AS hingga 1 Ogos depan.

 

"Setakat ini, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) sudah berunding selama 90 hari dan kita diberi tempoh lanjutan untuk meneruskan rundingan hingga 1 Ogos depan.

 

"Namun, pada masa sama, AS naikkan (kadar tarif import) daripada 24 peratus kepada 25 peratus. Jadi perkara ini akan dibincangkan esok oleh Kabinet," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Transformasi Kampus Sekolah Antarabangsa Taylor's Kuala Lumpur (TISKL) di School Field hari ini.

 

test

Datuk Seri Johari Abdul Ghani 

 


Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia, bermula 1 Ogos ini.


Bagaimanapun tarif timbal balas itu ditangguhkan pentadbiran Trump selama 90 hari bagi mengadakan rundingan bersama semua negara dagang.

 

Dalam pada itu, Johari berkata, nilai eksport produk komoditi negara ke AS membabitkan kira-kira RM20 bilion berbanding nilai keseluruhan RM186 bilion setahun.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia bukanlah pembekal eksklusif bagi keseluruhan import produk komoditi ke AS bernilai hampir RM20 bilion itu.

 

"Produk kita eksport ke AS  tidak dihasilkan oleh AS kerana mereka tak hasilkan minyak kelapa sawit, produk oleokimia dan sarung tangan getah.

 

"Namun sekiranya Malaysia perlu bersaing dengan negara lain seperti minyak kelapa sawit misalnya, (kadar eksport) Indonesia adalah lebih tinggi berbanding kita.

 

"Begitu juga sarung tangan getah, Vietnam dan China memiliki saingan hampir sama, namun Thailand lebih tinggi berbanding Malaysia," katanya.

 

Ditanya kemungkinan Malaysia dikenakan tambahan tarif import 10 peratus sebagai tindak balas menyertai BRICS, Johari berkata, pengumuman Trump itu bukan penamat bagi pasaran eksport negara.

 

"Dalam dunia ini kita ada lebih 190 negara, takkan satu negara (AS) buat Malaysia macam ini (naikkan tarif import menyebabkan) kita rasa tak boleh bertahan.

 

"Kita perlu perluas dan mempelbagaikan pasaran eksport kita (sebagai usaha mengurangkan impak tindakan Trump)," katanya. - DagangNews.com