KUALA LUMPUR 10 Feb – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad akan menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 mendapati bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Datuk Nordin Hassan, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Mohd Isa gagal menilai fakta-fakta penting kes tersebut, justeru memerlukan campur tangan mahkamah tertinggi.
“Keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan responden atas kesemua sembilan pertuduhan dikekalkan. Kami mendapati hukuman adalah wajar dan selaras dengan undang-undang.
"Kami hanya ingin menegaskan bahawa rasuah adalah perbuatan keji yang boleh memusnahkan sesebuah negara,” kata Hakim Nordin dalam penghakiman sebulat suara.
Dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini ialah Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali
Mahkamah Persekutuan turut mengeluarkan perintah komital bagi memastikan Mohd Isa menjalani hukuman yang telah ditetapkan.
Keputusan ini menamatkan proses rayuan terakhir dalam kes tersebut dan menegaskan pendirian mahkamah terhadap perbuatan rasuah dalam kalangan pemimpin korporat dan institusi negara.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2021 telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta ke atas Mohd Isa, manakala Mahkamah Rayuan kemudian membebaskannya sebelum keputusan hari ini membatalkan pembebasan itu. - DagangNews.com








