KUALA LUMPUR 11 Mac — Sunway Healthcare Holdings Bhd menerima bagi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Papan Utama Bursa Malaysia pada 18 Mac ini, apabila terbitan saham baharu syarikat itu terlebih langgan sebanyak 5.57 kali.
Unit penjagaan kesihatan kepada Sunway Bhd itu menerima permohonan daripada orang awam Malaysia bagi sebanyak 1.51 bilion saham bernilai kira-kira RM8.42 bilion.
Syarikat itu berkata notis pengagihan saham kepada pemohon yang berjaya akan dihantar pada 17 Mac ini.
“Bagi bahagian awam Bumiputera, tawaran tersebut terlebih langgan sebanyak 0.76 kali, manakala permohonan daripada pelabur bukan Bumiputera mencatat lebihan langganan lebih tinggi iaitu 10.37 kali.
“Dalam masa sama, saham yang diperuntukkan kepada individu yang layak turut dilanggan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Healthcare tetapkan harga IPO RM1.45 sesaham, sasar raih RM2.8 bilion, bakal jadi penyenaraian terbesar Malaysia sejak 2007
Sementara itu, bahagian tawaran institusi dalam IPO tersebut juga dilanggan sepenuhnya dengan sokongan daripada pengurus bersama, penyelaras global bersama serta pelabur asas.
Sebanyak 20 pelabur asas menyertai tawaran itu dengan melanggan 52.6% daripada bahagian institusi, manakala proses pengumpulan permintaan pelabur menarik permintaan melebihi kira-kira RM11.7 bilion.
Antara pelabur asas yang terlibat termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, JPMorgan Asset Management serta Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
Harga institusi bagi IPO tersebut ditetapkan pada RM1.45 sesaham dan harga runcit akhir juga ditetapkan pada paras sama.
Selepas disenaraikan kelak, Sunway Healthcare dijangka mempunyai permodalan pasaran sekitar RM16.7 bilion dan berhasrat mengumpul sehingga RM2.86 bilion bagi membiayai rancangan pengembangan termasuk menambah kapasiti katil pesakit serta memperluaskan operasi hospital sedia ada. - DagangNews.com








