IPO Sunway Healthcare kumpul RM3.3 bilion, terbesar dalam tempoh 9 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Sunway Healthcare kumpul RM3.3 bilion, terbesar dalam tempoh 9 tahun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac – Sunway Healthcare Holdings Berhad membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga pembukaan RM1.70 sesaham, mewakili premium 17.2% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.45 sesaham. 

 

Jumlah dagangan pembukaan dicatat sebanyak 36.2 juta saham pada pukul 9.00 pagi.

 

Melalui IPO itu, syarikat tersebut berjaya mengumpul RM3.3 bilion daripada penawaran asas dan pilihan penambahan, menjadikannya IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh sembilan tahun serta IPO kedua terbesar dalam sektor kesihatan ASEAN setakat ini.

 

Penerbitan awam sebanyak 575 juta saham baharu membolehkan syarikat mengumpul RM833.8 juta. 

 

Daripada jumlah hasil kasar tersebut, RM554.1 juta atau 66.5% diperuntukkan bagi memperluaskan  hospital sedia ada untuk memperkukuh kepimpinan pasaran dan meningkatkan kapasiti katil.

 

Sebanyak RM249.7 juta atau 29.9% akan digunakan untuk penebusan sebahagian Tranche 2 dan penebusan penuh Tranche 3 Sukuk Wakalah yang diterbitkan pada 30 Ogos 2023 dan 29 April 2024.

 

Dana yang diperoleh daripada Tranche 2 digunakan untuk membeli Menara A dan B di Sunway Medical Centre Sunway City Kuala Lumpur pada 2023. 

 

Selain itu, dana Tranche 3  pula digunakan untuk membiayai pembinaan hospital baharu dan pengembangan hospital sedia ada, termasuk Pusat Perubatan Sunway di Damansara, Ipoh, Sunway City Kuala Lumpur (Menara D, E dan F) dan Pulau Pinang.

 

Baki RM30.0 juta atau 3.6% pula diperuntukkan untuk menampung kos berkaitan IPO dan penyenaraian.

 

Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata penyenaraian SHH di Pasaran Utama Bursa Malaysia adalah pencapaian yang membanggakan bagi Sunway Healthcare dan kumpulan Sunway secara keseluruhan. 

 

“Sambutan yang menggalakkan terhadap IPO ini daripada pelabur institusi tempatan dan asing serta orang ramai di Malaysia mencerminkan kepercayaan terhadap Sunway Healthcare dan jenama Sunway.

 

“Aspirasi kami adalah untuk membina institusi kesihatan yang diiktiraf bukan sahaja kerana saiznya, tetapi juga kecemerlangan, inovasi serta sifat belas kasihan dan penjagaan terhadap pesakit. Ketika Sunway Healthcare memulakan babak baharu ini, kami akan terus memperkukuh komitmen kami terhadap pembangunan negara dalam usaha menubuhkan kumpulan kesihatan Malaysia yang boleh menyaingi, atau bahkan melebihi, institusi perubatan terbaik di dunia,” katanya.

 

Tambahnya, aspek kesihatan sentiasa menjadi salah satu teras utama Sunway Group, yang dipandu oleh komitmen pengurusan terhadap pembangunan negara dan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

 

“Saya yakin Sunway Healthcare akan menjadi penyedia kesihatan bersepadu terkemuka di rantau ini, memberikan penjagaan berkualiti tinggi sambil mencipta nilai mampan jangka panjang untuk Masyarakat,” katanya.

 

t

 

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas SHH, Datuk Lau Beng Long berkata penyenaraian hari ini menandakan pencapaian penting bagi SHH ketika Kumpulan terus melaksanakan misi untuk memberikan penjagaan kesihatan yang berlandaskan integriti, rendah hati dan kecemerlangan.

 

“Sepanjang 26 tahun yang lalu, kami telah membina platform kesihatan yang dipercayai di Malaysia dengan melabur dalam kemampuan klinikal, menarik pakar terkemuka, dan mewujudkan hospital di mana pesakit merasa selamat dan dijaga. 

 

“Integrasi hospital kami dalam kawasan Sunway meningkatkan pengalaman pesakit dengan menyediakan akses mudah kepada penginapan, kemudahan, dan perkhidmatan sokongan di samping penjagaan perubatan.

 

“Dengan strategi pengembangan yang jelas, kami akan terus menambah rangkaian hospital, meningkatkan kapasiti dan memperkukuh kecemerlangan klinikal untuk memenuhi keperluan kesihatan yang semakin meningkat di rantau ini.

 

Menjelang 2032, SHH dijangka mengendalikan lebih daripada 3,400 katil di lapan hospital, bersedia memenuhi permintaan domestik yang meningkat dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan serantau,” katanya.

 

Maybank Investment Bank dan AmInvestment Bank bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, penjana buku bersama dan penanggung bersama untuk IPO.

 

UBS, HSBC, dan Jefferies pula adalah penyelaras global bersama dan penjana buku bersama. Kenanga Investment Bank juga bertindak sebagai penanggung bersama.

 

Affin Hwang Investment Bank, CIMB Investment Bank dan RHB Investment Bank adalah penjana buku bersama dan penanggung bersama.

 

CLSA, DBS, Mizuho Securities dan United Overseas Bank pula berperanan sebagai penjana buku bersama sahaja.

 

Sunway Healthcare Holdings melalui anak syarikatnya adalah salah satu penyedia kesihatan swasta bersepadu terkemuka dengan rangkaian hospital dan perkhidmatan kesihatan yang meluas di Malaysia. 

 

 

 

 

 

 

Rangkaian SHH merangkumi hospital kuaternari utama Sunway Medical Centre di Sunway City Kuala Lumpur, hospital tertiari Sunway Medical Centre Velocity, Sunway Medical Centre Penang, Sunway Medical Centre Damansara dan Sunway Medical Centre Ipoh, serta pusat rawatan ambulatori dan sokongan.

 

SHH juga mempunyai kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa seperti University of Cambridge dan Harvard Medical School bagi bidang latihan perubatan, pendidikan dan penyelidikan klinikal. Dengan rancangan pengembangan, SHH dijangka mempunyai kapasiti lebih 3,400 katil di seluruh rangkaian hospital menjelang 2032. - DagangNews.com