KUALA LUMPUR 9 April – Tawaran awam permulaan (IPO) MTT Shipping and Logistics Berhad menerima sambutan positif apabila terlebih langgan sebanyak 2.7 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama.
AscendServ Capital Markets Services Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, sebanyak 50 juta saham IPO yang diperuntukkan kepada orang awam warga Malaysia habis dilanggan selepas ditutup pada 3 April 2026.
Secara keseluruhan jelas firma tersebut, IPO kumpulan perkapalan dan logistik tempatan itu berjaya menerima sejumlah 10,863 permohonan melibatkan sebanyak 184.79 juta saham bernilai RM190.33 juta.
"Daripada keseluruhan jumlah berkenaan, bahagian Bumiputera mencatatkan lebihan langganan kira-kira 1.17 kali dengan 3,893 permohonan bagi 54.14 juta saham," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bahagian awam IPO tersebut kata AscendServ, mencatatkan lebihan langganan yang lebih tinggi iaitu mencecah 4.23 kali menerusi sebanyak 6,970 permohonan untuk 130.65 juta saham.
Dalam pada itu ujarnya, sejumlah 12.5 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja layak dan individu yang menyumbang kepada kejayaan MTT Shipping & Logistics turut habis dilanggan.
"Bagi tawaran institusi, sebanyak 571 juta saham yang ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing termasuk Bumiputera yang diluluskan oleh kerajaan juga sudah habis dilanggan," katanya.
Harga institusi dan harga runcit akhir ditetapkan pada RM1.03 sesaham selepas proses pembinaan buku diselesaikan, sekali gus menjadikan tiada pemulangan lebihan bayaran kepada pelabur runcit.
Notis peruntukan saham MTT Shipping & Logistics tambah AscendServ, dijangka dapat dihantar kepada kesemua pemohon yang berjaya dalam bidaan tersebut selewat-lewatnya menjelang 17 April 2026.
Kumpulan itu menguasai 46 peratus pasaran bagi laluan Malaysia Barat ke Malaysia Timur melalui perkhidmatan penyewaan kapal dan simpanan kontena dengan 26 kapal sendiri dan 11 kapal disewa.
"Saham syarikat ini dijadualkan untuk didagangkan menjelang penampilan pertama pada 21 April 2026 dengan saiz pasaran di Bursa Malaysia dianggarkan RM2.58 bilion berdasarkan harga IPO," katanya.
CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama serta penaja jamin dan pengunderait bersama bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com








