KUALA LUMPUR 21 April – RHB Research berpandangan harga tawaran awam permulaan (IPO) Manforce Group Berhad pada RM0.38 sesaham sebagai wajar dan mencerminkan nilai sebenar syarikat, tanpa jangkaan kenaikan harga yang ketara selepas penyenaraian.
Manforce yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Mei 2026, merupakan syarikat pengurusan tenaga kerja asing bersepadu yang menawarkan perkhidmatan menyeluruh termasuk pengambilan pekerja, pengurusan permit, penggajian, pengangkutan serta penginapan pekerja.
RHB Research berkata syarikat itu berada dalam kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada dasar pekerja asing di Malaysia, susulan pembukaan semula kuota pengambilan pekerja oleh kerajaan selepas tempoh pembekuan sebelum ini.
Syarikat tersebut merancang untuk mengumpul kira-kira RM30.4 juta daripada IPO, dengan hampir separuh dana akan digunakan bagi pengembangan kuota pengambilan pekerja asing baharu, termasuk penambahan sehingga 6,000 pekerja dalam tempoh 48 bulan.
Selain itu, sebahagian hasil IPO akan digunakan untuk menaik taraf sistem operasi teknologi maklumat (IT) termasuk pembangunan aplikasi SmartApp serta sistem pengurusan asrama pekerja atau Centralised Labour Quarters (CLQ).
“Model perniagaan Manforce disokong oleh kontrak jangka sederhana hingga panjang, lazimnya sekurang-kurangnya tiga tahun, yang memberikan keterlihatan pendapatan yang stabil kepada kumpulan tersebut.
“Dari sudut kewangan, syarikat itu merekodkan pertumbuhan hasil yang konsisten dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekitar 28 peratus antara FY2023 hingga FY2026F, disokong oleh peningkatan jumlah pekerja di bawah pengurusan.
“Namun, keuntungan bersih dijangka mencatat pertumbuhan lebih sederhana pada tahun kewangan akan datang sebelum kembali meningkat apabila pengembangan kuota pekerja mula menyumbang secara lebih ketara bermula separuh kedua 2027,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Dari aspek penilaian, RHB menggunakan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali berdasarkan unjuran CY2027F, yang dianggap munasabah berbanding purata syarikat setara di rantau ini yang didagangkan pada 13 hingga 15 kali.
Namun begitu, beberapa risiko turut diketengahkan termasuk kebergantungan tinggi kepada dasar kerajaan berkaitan pekerja asing dan kepada negara sumber tenaga kerja serta risiko penamatan kontrak pelanggan utama.
Secara keseluruhan, RHB Research berpandangan IPO Manforce menawarkan pendedahan kepada sektor tenaga kerja asing yang masih mempunyai permintaan kukuh di Malaysia, namun penilaian saham tersebut dilihat lebih kepada “fairly priced” tanpa premium ketara pada peringkat awal penyenaraian. - DagangNews.com








