IPO iCents Group terlebih langgan 2.3 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO iCents Group terlebih langgan 2.3 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai - iCents Group Holdings Bhd, yang dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Julai ini, mengumumkan bahawa 25 juta saham baharu yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia di bawah tawaran awam permulaan (IPO) syarikat telah melebihi langganan sebanyak 2.3 kali ganda.

 

Tawaran itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 142.5 juta saham di bawah IPO iCents, yang merangkumi 112.5 juta saham baharu dan 30 juta saham tawaran untuk jualan, masing-masing pada harga 24 sen sesaham.

 

iCents, yang terlibat dalam pembinaan bilik bersih (cleanroom) bagi pusat data dan sektor farmaseutikal berkata, ia telah menerima 1,266 permohonan melibatkan 82.39 juta saham bernilai RM19.77 juta bagi 25 juta saham yang ditawarkan kepada orang awam.

 

Bagi kategori Bumiputera, hanya 385 permohonan diterima untuk 9.75 juta saham dan baki saham yang tidak dilanggan telah ditarik balik dan diagihkan semula kepada kategori awam lain.

 

Kategori awam bukan Bumiputera pula menerima 881 permohonan bagi 72.65 juta saham, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 4.81 kali.

 

iCents turut memaklumkan bahawa 10 juta saham baharu yang ditawarkan kepada pihak layak juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Sementara itu, 62.5 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti melalui penempatan persendirian juga telah ditempatkan sepenuhnya selepas pelaksanaan mekanisme 'clawback' dan pengagihan semula. 

 

'Sebanyak 15 juta saham baharu dan 30 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih telah dilanggan sepenuhnya.

 

Notis peruntukan saham akan dihantar kepada pemohon yang berjaya pada 14 Julai ini.

 

iCents terlibat dalam penyediaan perkhidmatan bilik bersih meliputi kejuruteraan, perolehan, pembinaan serta ujian dan pentauliahan khusus bagi sektor semikonduktor, elektronik, pusat data, farmaseutikal dan sains hayat.

 

Syarikat itu menyasarkan untuk meraih sehingga RM27 juta hasil IPO bagi pembelian mesin dan peralatan baharu serta pengembangan operasi ke Negeri Sembilan, Indonesia, Singapura dan Sarawak.

 

Daripada jumlah keseluruhan 112.5 juta saham baharu yang ditawarkan, ia mewakili 22.5% daripada modal saham diperbesarkan bernilai RM120 juta selepas penyenaraian.

 

Hasil daripada penjualan 30 juta saham sedia ada yang dianggarkan bernilai RM7.2 juta akan diberikan sepenuhnya kepada Pengarah Urusan iCents, Vincent Ong Mum Fei serta Pengarah Eksekutif Foo Siang Leng dan Tan Wei Ying.

 

Alliance Islamic Bank bertindak selaku penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi IPO ini. - DagangNews.com