KUALA LUMPUR 14 April – AMS Advanced Material Berhad mencatatkan sambutan menggalakkan bagi tawaran awam permulaan (IPO) apabila keseluruhan saham yang ditawarkan kepada orang awam terlebih langgan sebanyak 9.03 kali, mencerminkan minat kukuh pelabur runcit dan institusi.
Syarikat itu menerima sebanyak 8,110 permohonan bagi 307,032,400 saham berbanding hanya 30,602,000 saham yang diperuntukkan kepada orang awam.
Bagi pecahan permohonan, bahagian Bumiputera merekodkan 3,034 permohonan untuk 60,961,000 saham dengan kadar terlebih langgan sebanyak 2.98 kali, manakala bahagian awam selebihnya mencatatkan 5,076 permohonan bagi 246,071,400 saham dengan kadar lebihan langganan sebanyak 15.08 kali.
Selain itu, 2,155,000 saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja layak bersama tawaran institusi juga telah dilanggan sepenuhnya, dengan penyertaan daripada tujuh dana institusi bagi penempatan saham berkenaan.
Pengarah Urusan AMS Advanced Material Berhad Keh Teng Yang berkata pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan memberangsangkan terhadap IPO tersebut yang menunjukkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan serta prospek industri syarikat.
“Penyertaan kukuh daripada pelabur runcit dan institusi mencerminkan keyakinan terhadap perniagaan kami. Kami akan terus memberi tumpuan kepada operasi dan pertumbuhan mampan menjelang penyenaraian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan (Korporat Kewangan) dan Pengarah Eksekutif M&A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan berkata, sambutan positif itu membuktikan keyakinan pasaran terhadap nilai dan potensi AMS.
“Pencapaian ini, termasuk penyertaan pelabur institusi, menunjukkan penerimaan pasaran yang amat baik terhadap syarikat,” katanya.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin serta ejen penempatan bagi IPO tersebut.
AMS merupakan syarikat yang terlibat dalam perdagangan dan pemprosesan produk aluminium dan tembaga separuh siap, termasuk kepingan, gegelung, plat, rod dan bar yang digunakan dalam pelbagai industri seperti semikonduktor, aeroangkasa, automotif, pembinaan serta kejuruteraan sokongan.- DagangNews.com








