KUALA LUMPUR 26 Jun — Strategi agresif IOI Properties Group Berhad memperluaskan pegangan aset komersial di Singapura dijangka meningkatkan tahap keberhutangan syarikat, jelas RHB Research.
Menurut firma penyelidikan tersebut, situasi ini sekali gus menjadikan tahap sensitiviti terhadap pergerakan kadar faedah negara jiran itu sebagai antara cabaran utama yang perlu dihadapi dalam tempoh terdekat.
Katanya, meskipun prospek hasil semakin kukuh, komitmen pembiayaan besar bagi pengambilalihan Asia Square Tower 2 dan projek W Residence di Singapura dijangka menekan kedudukan lembaran imbangan.
"Kami menyambung semula liputan terhadap IOI Properties dengan mengekalkan saranan 'neutral' dan harga sasaran (TP) baharu RM4.40 sesaham berbanding RM2.15 sebelum ini," tambah RHB Research lagi.
Ujarnya, pemangkin terdekat menerusi cadangan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) tahun ini sebahagian besar diambil kira pasaran, namun harga saham dijangka terus dalam aras sokongan.
Walaupun tahap hutang akan meningkat, terdapat beberapa pilihan bagi menguruskan kadar penggearan termasuk penubuhan REIT, penjualan bank tanah dan potensi penyenaraian aset pejabat di Singapura.

RHB Research menjangka tahap hutang bersih IOI Properties kekal tinggi sekitar 1.1 kali selepas penyenaraian REIT, berbanding 0.86 kali yang direkodkan setakat suku ketiga tahun kewangan 2026.
"Kira-kira 84% daripada keseluruhan pinjaman semasa adalah dalam denominasi dolar Singapura, menyebabkan prestasi kewangan amat sensitif terhadap perubahan kadar asas pinjaman," jelasnya.
Berdasarkan anggaran, keuntungan boleh menyusut 2% bagi setiap kenaikan 10 mata asas kadar faedah, dan menjadikan strategi penjanaan nilai aset sebagai langkah penting jika kadar naik agak ketara.
Dalam tempoh setahun lalu kata RHB Research, IOI Properties menjual tanah bernilai RM1.2 bilion dan masih berunding dengan beberapa pihak bagi mengukuhkan aliran tunai serta mengurangkan hutang.
Pada masa sama, pendapatannya bakal mencatat kenaikan mulai FY27 susulan sumbangan penuh sewaan beberapa aset komersialnya di Singapura, selain keuntungan pelupusan tanah di Banting dan Kulai.
"Kami berpendapat penyenaraian aset komersial Singapura sebagai REIT, merupakan langkah paling berkesan untuk mengurangkan hutang kumpulan dalam jangka panjang," tambahnya. - DagangNews.com








