IOI Properties sasar Singapura dengan aset 3 kali ganda daripada Malaysia jadi pemacu baharu – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI Properties sasar Singapura dengan aset 3 kali ganda daripada Malaysia jadi pemacu baharu – HLIB

Foto kredit Unsplash+ / Jisun Han
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 AprilIOI Properties Group Berhad dilihat bersedia mengalihkan tumpuannya ke Singapura dengan memiliki nilai aset lebih tiga kali ganda berbanding pasaran Malaysia sendiri.


Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), perubahan tersebut sekali gus akan menjadi pemangkin baharu kumpulan pemaju hartanah berkenaan untuk mencapai peringkat pertumbuhan yang seterusnya.


Firma itu berkata, langkah ini dijangka berlaku selepas penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) bagi aset tempatan, yang bakal membuka nilai dan menstruktur semula portfolio kumpulan berkenaan.


"Pasaran pejabat di Singapura kini berada dalam kitaran menaik struktur dengan bekalan terhad dan permintaan kukuh, yang akan menyokong potensi kenaikan kadar sewaan pada masa depan," jelasnya.


Sementara itu tambah HLIB, saham IOI Properties bagi dagangan sesi pagi meningkat kepada RM3.96, naik 5.04%, dan meneruskan momentum lonjakan 14% sejak pengumuman cadangan REIT pada minggu lalu.

 

IOI Properties_DagangNews


Kaunter itu meningkat kira-kira 47% sejak awal tahun ini, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi hartanahnya dan strategi pembukaan nilai yang melibatkan aset REIT bernilai RM7.58 bilion.


Kumpulan itu ujarnya, berpotensi besar memanfaatkan aset di Singapura melalui beberapa pendekatan termasuk penyenaraian penuh REIT menjelang 2029, atau menerusi pelaksanaan secara berperingkat.


"IOI Properties mungkin menubuhkan dana hartanah komersial swasta seawal 2027, namun penyenaraian REIT tersebut masih lagi bergantung kepada isu persekitaran kadar faedah semasa," kata HLIB.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, kelazimannya dana swasta boleh mengambil peluang aliran masuk modal ke pasaran yang stabil seperti Singapura dalam suasana ketidaktentuan global ketika ini.


Secara keseluruhan, kumpulan itu kekal berada dalam kedudukan strategik untuk memacu pertumbuhan nilai jangka sederhana melalui pengoptimuman aset domestik dan pengembangan portfolio serantau. - DagangNews.com