KUALA LUMPUR 11 Julai – IOI Corporation Bhd dijangka merekodkan pertumbuhan keuntungan bersih 11% pada suku keempat tahun kewangan, susulan peningkatan pengeluaran ladang yang ketara, kata UOB Kay Hian (UOBKH).
Firma penyelidikan itu berkata, bagi suku berakhir 30 Jun 2025 (4QFY2025), keuntungan bersih dianggarkan mencecah RM310 juta, berdasarkan pratonton keputusan yang dijalankannya.
“IOI Corp dijangka memperoleh harga jualan sebenar yang lebih tinggi daripada harga pasaran semasa, memandangkan syarikat lazimnya menjual sebahagian besar pengeluarannya lebih awal melalui kontrak hadapan.
“Selain itu, sumbangan keuntungan daripada segmen hiliran dijangka terus meningkat susulan pemulihan margin yang positif pada suku lepas,” kata UOBKH dalam nota kajiannya.
Harga minyak makan yang digunakan dalam pelbagai produk daripada gincu ke diesel telah pulih daripada paras terendah pada Mei lalu, namun purata harga bagi tempoh April hingga Jun ialah RM3,935 satu tan, lebih rendah berbanding RM4,416 dalam suku sebelumnya (Januari-Mac).
Firma itu berkata, pengeluaran minyak sawit yang bergantung kepada cuaca turut terjejas akibat banjir di beberapa negeri pengeluar utama sejak kebelakangan ini.
“Namun begitu, data pengeluaran terkini menunjukkan IOI Corp sedang pulih daripada penyusutan kadar pengeluaran sebelum ini.
“Secara keseluruhan, IOI Corp dijangka menamatkan tahun kewangan dengan keuntungan bersih 12 bulan sebanyak RM1.31 bilion, lebih tinggi daripada anggaran konsensus RM1.26 bilion,” katanya.
Bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), keuntungan bersih dijangka meningkat sedikit kepada RM1.32 bilion dengan pertumbuhan pengeluaran ladang dan pemulihan berterusan dalam segmen hiliran terutamanya dalam operasi penapisan serta sumbangan keuntungan daripada produk lemak khas yang dijangka mampu mengimbangi penurunan harga minyak sawit mentah.
Firma itu telah menaikkan harga sasaran IOI Corp kepada RM3.60 daripada RM3.55 namun mengekalkan saranan ‘pegang’ kerana penilaian semasa saham dianggap wajar berikutan penyatuan harga minyak sawit. - DagangNews.com








