KUALA LUMPUR 18 Mac – IOI Corporation Bhd dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan sebanyak 16% tahun ke tahun bagi FY26, disokong oleh pemulihan volum pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan prestasi segmen hiliran yang kukuh, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pengeluaran FFB dijangka meningkat 5% hingga 8% apabila pokok muda mencapai kematangan, sekali gus menyokong leverage operasi dan menurunkan kos seunit.
Katanya, segmen hiliran syarikat kekal berdaya tahan dengan permintaan stabil terhadap lemak khusus, sementara platform Loders Croklaan terus menjana nilai daripada produk pengganti mentega koko (CBE), walaupun margin dijangka sederhana berbanding tahap tinggi sebelum ini.
"Perbelanjaan modal FY26 diunjurkan sekitar RM1 bilion, dengan nisbah gearing bersih berpotensi meningkat kepada 0.13 kali menjelang akhir tahun kewangan, manakala dividen sesaham (DPS) kekal stabil pada 10.5 sen," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu firma berkenaan, mengekalkan unjuran FY26 hingga FY27, dengan EPS FY28 dinaikkan 2% kepada 21.1 sen, mengambil kira peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 5% tahun ke tahun serta inisiatif pertumbuhan baharu.
Saranan “beli” dikekalkan dengan harga sasaran RM4.57, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 21 kali bagi CY26, disokong oleh pemulihan hasil sektor huluan, pendapatan lemak khusus yang kukuh serta platform pertumbuhan baharu syarikat.
Bagaimanapun, Phillip Capital turut menekankan risiko utama termasuk turun naik harga minyak sawit, tekanan margin dalam penapisan dan minyak asas, peningkatan kos input, serta perkembangan peraturan atau geopolitik yang boleh menjejaskan aliran perdagangan global.
Pertumbuhan huluan kekal utuh
Phillip Capital berkata IOI Corporation mengekalkan prospek pertumbuhan FFB FY26 pada 5% hingga 8% tahun ke tahun, walaupun menghadapi cabaran cuaca buruk dan turun naik bermusim.
Pengurusan syarikat menjangkakan pengeluaran bagi Februari 2026 menurun kira-kira 20% bulan ke bulan akibat musim hasil rendah dan hujan lebat, berbanding Januari 2026 yang mencatat penurunan 11.5% bulan ke bulan namun meningkat 20.6% tahun ke tahun.
Ladang di Sabah dijangka mencatat penurunan lebih ketara, manakala Johor menyaksikan penurunan lebih sederhana.
Bagaimanapun, pengeluaran dijangka pulih mulai Mac 2026 dengan peningkatan berterusan sehingga suku keempat FY26 apabila keadaan tanaman kembali normal.
Syarikat yakin trajektori pemulihan jangka panjang tetap kukuh, disokong oleh profil umur ladang yang lebih baik serta peningkatan sumbangan daripada pokok klon berhasil tinggi.
Setakat ini, sebanyak 1,400 hektar tanaman baharu telah matang, sementara tambahan 30,000 hektar kawasan belum matang akan memasuki fasa pengeluaran secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang.
Seiring pokok-pokok ini mencapai tempoh hasil optimum, IOI menjangka peningkatan berterusan dalam hasil FFB, kadar perahan minyak (OER) serta pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) per hektar.
Kadar OER dan hasil CPO telah menunjukkan peningkatan 1 hingga 2 mata peratusan tahun ke tahun, disokong oleh penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi dan amalan agronomi yang dipertingkatkan.
Unjuran pengeluaran FFB bagi FY26 dan FY27 masing-masing dikekalkan pada 2.92 juta tan dan 3.03 juta tan, manakala FY28 dinaikkan 2% kepada 3.15 juta tan sejajar dengan trend pengeluaran terkini.
Langkah-langkah ini dijangka terus menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan, di tengah-tengah cabaran cuaca dan turun naik bermusim, sambil memperkukuh daya saing dalam industri minyak sawit global. - DagangNews.com








