KUALA LUMPUR 25 Nov – RHB Research mengekalkan saranan BELI ke atas saham Inta Bina Group Bhd dengan harga sasaran (TP) RM0.81, menawarkan potensi kenaikan sekitar 103% serta unjuran hasil dividen 6% bagi tahun kewangan 2026 (FY26F).
Firma penyelidikan itu berkata, bagi sembilan bulan pertama 2025 (9M25), Inta Bina mencatat keuntungan teras berjumlah RM28.2 juta, meningkat 17% tahun ke tahun (YoY) dan memenuhi 72% daripada jangkaan firma penyelidikan serta konsensus pasaran.
Katanya, prestasi itu disifatkan sejajar memandangkan suku keempat 2025 (4Q25) dijangka lebih kukuh selari kemajuan projek yang semakin rancak sepanjang tempoh kritikal lengkung-S.
"Kami kekal optimis terhadap prospek kumpulan dengan unjuran CAGR keuntungan 17% bagi FY24–FY27F, disokong aliran penambahan buku pesanan yang stabil – dianggarkan sekurang-kurangnya RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang,' katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut RHB, segmen pembinaan Inta Bina mencatatkan pertumbuhan hasil 6% YoY bagi 9M25 namun keuntungan selepas cukai (PAT) susut kurang 1%, menjadikan margin PAT berada pada 4.3%, sedikit lebih rendah daripada 4.6% pada 9M24.
Sebaliknya, segmen hartanah menunjukkan prestasi lebih cemerlang. Projek Senuri Residence (GDV: RM205 juta), yang dilancarkan pada Oktober 2023, berjaya melonjakkan PAT segmen itu kepada RM10.9 juta bagi 9M25 – hampir tiga kali ganda berbanding RM3.5 juta setahun lalu.
"Margin PAT hartanah turut meningkat ketara kepada 14.7% berbanding 11.6% pada 9M24, mencerminkan pengiktirafan jualan yang kukuh," katanya.
Setakat akhir September, Inta Bina memiliki buku pesanan belum direalisasi berjumlah RM1.8 bilion, bersamaan 2.8 kali hasil pembinaan FY24.
Syarikat itu juga mempunyai buku tender bernilai RM4.5 bilion, disokong aktiviti pelancaran projek yang berterusan oleh pemaju ternama di Lembah Klang.
Dengan prestasi semasa, RHB mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada kerana keputusan 9M25 berada dalam jangkaan. TP RM0.81 dikekalkan berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP), menggunakan sasaran P/E 11.5x ke atas EPS FY26F, termasuk premium ESG 2% berdasarkan skor ESG 3.1.
Saham Inta Bina kini diniagakan pada P/E FY26F 5.4x, jauh lebih rendah berbanding purata lima tahun Indeks Pembinaan Bursa Malaysia sekitar 14x.
Diskaun ini dianggap tidak wajar memandangkan rekod Inta Bina dalam mengumpul buku pesanan kukuh – dianggarkan minima RM1 bilion setahun bagi FY26F–FY27F – selain perancangan projek hartanah baharu dengan potensi GDV sekitar RM500 juta. - DagangNews.com








