Institut Pengurus Harta rayu dikecualikan SST ke atas yuran penyelenggaraan hartanah komersial | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Institut Pengurus Harta rayu dikecualikan SST ke atas yuran penyelenggaraan hartanah komersial

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Mei — Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM) merayu Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas yuran penyelenggaraan hartanah komersial berstrata.


Presidennya, Ishak Ismail turut memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan cukai tersebut terhadap caruman dana pembaikan hartanah berkenaan yang sudah mula dikenakan mulai Februari 2024 dengan kadar sebanyak enam peratus.


MIPFM berkata, pihaknya amat prihatin berhubung kesan daripada pelaksanaan SST ke atas para pemilik dan penduduk hartanah komersial berstrata, terutama dengan isu peningkatan kos sara hidup yang amat dirasai mereka sendiri di bandar besar pada ketika ini.

 

 


"Cukai itu akan mengurangkan dana untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan berkala kawasan umum. Ia juga bertentangan dengan tujuan asal yuran itu dan menambah tekanan kewangan tambahan kepada pemilik rumah," katanya dalam satu kenyataan. 


Ishak berkata, secara kelazimannya, dana tersebut bertujuan untuk perbelanjaan jangka panjang utama seperti penggantian lif uzur dan pembaikan bangunan yang dikutip dan diuruskan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bersama hartanah tersebut.


“MIPFM amat percaya bahawa dasar ini bukan sahaja tidak konsisten dengan prinsip percukaian saksama, tetapi ia juga menghukum pemilik kerana memenuhi kewajipan mereka untuk menyelenggara dan mempertingkatkan hartanah penduduk sendiri,” katanya. 


Ia turut menggesa pendekatan dasar lebih holistik serta diadakan perundingan, yang melibatkan pihak berkepentingan seperti pengurus hartanah berdaftar dan badan pengurusan bersama bagi memastikan kemampanan perkhidmatan pengurusan hartanah di Malaysia. - DagangNews.com