KUALA LUMPUR 13 April – Inspace Creation Berhad menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM17.13 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Syarikat penyedia perkhidmatan pemasangan dalaman itu akan menerbitkan sebanyak 68.5 juta saham baharu pada harga IPO 25 sen sesaham bagi membiayai pelan pengembangan serta keperluan operasi kumpulan.
Menurut syarikat, hasil IPO tersebut akan digunakan bagi pembiayaan perbelanjaan modal, modal kerja, pembayaran balik pinjaman bank serta kos penyenaraian di pasaran saham.
Sebanyak RM6 juta akan diperuntukkan untuk perbelanjaan modal bagi menyediakan kemudahan penyimpanan dan ruang contoh rekaan dalaman (mock-up) selain meningkatkan kapasiti serta kecekapan operasi kumpulan.
Sementara itu, RM4.39 juta akan digunakan sebagai modal kerja untuk pembelian bahan, pembayaran kepada subkontraktor serta menampung perbelanjaan operasi dan pentadbiran bagi projek semasa dan akan datang.
Sebahagian lagi dana sebanyak RM2.74 juta akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank, manakala RM4 juta diperuntukkan untuk anggaran kos penyenaraian berkaitan IPO tersebut.
Pengarah Eksekutif Inspace Creation Berhad Wong Chong Siong berkata IPO ini menandakan satu lembaran baharu bagi syarikat dalam memperkukuh keupayaan operasi dan memperluas pasaran.
“Kemudahan baharu seperti stor dan ruang mock-up akan meningkatkan kecekapan perolehan serta pembentangan reka bentuk, di samping membantu syarikat mendapatkan projek komersial yang lebih besar serta mengembangkan operasi ke luar Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong pula berkata Inspace Creation telah membina rekod prestasi kukuh melalui pelaksanaan konsisten dan hubungan industri yang mantap.
“IPO ini merupakan langkah strategik ke hadapan yang mencerminkan kebolehpercayaan serta keupayaan teknikal syarikat dalam industri pemasangan dalaman,” jelasnya.
Inspace Creation telah beroperasi kira-kira lapan tahun dalam industri tersebut dan setakat ini telah melaksanakan lebih 110 projek dengan jumlah nilai kontrak kumulatif melebihi RM170 juta.
Portfolio syarikat merangkumi projek-projek utama di lokasi komersial seperti Tun Razak Exchange dan Bukit Bintang, selain pelbagai pembangunan komersial di sekitar Lembah Klang.
Melalui anak syarikat utamanya, IDPM Sdn Bhd, kumpulan itu memiliki pensijilan CIDB Gred 7 yang membolehkan mereka melaksanakan projek tanpa had nilai kontrak di seluruh Malaysia, selain turut memiliki pensijilan ISO 9001:2015 sebagai jaminan kualiti pengurusan.
Menurut laporan penyelidikan pasaran bebas, industri pemasangan dalaman Malaysia dijangka berkembang daripada RM2.8 bilion pada 2025 kepada RM3.5 bilion pada 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 11.8 peratus.
Pertumbuhan industri itu disokong oleh peningkatan pembangunan hartanah komersial, permintaan terhadap ruang kerja moden dan berfungsi, serta pertumbuhan pelaburan domestik dan asing selain sektor pelancongan dan runcit.
Permohonan IPO dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada 22 April 2026, dengan penyenaraian di Bursa Malaysia Securities Berhad dijangka pada 8 Mei 2026, manakala TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








