KUALA LUMPUR 2 Mac – Kelulusan Elaun Pelaburan Jadual 7B oleh Kementerian Kewangan yang menurunkan kadar cukai efektif, akan menjadi pemangkin utama prospek pendapatan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut TA Securities, keputusan insentif cukai berkenaan yang diterima pada November 2025 itu dijangka menyaksikan penyusutan kadar kepada sekitar 24% berbanding 30% dikenakan sebelum ini.
Langkah tersebut tambah firma penyelidikan berkenaan, akan memberi kesan mampan kepada keuntungan bersih kumpulan, walaupun jumlah sebenar insentif yang diluluskan kerajaan tidak pula didedahkan.
"Selain faktor cukai itu, permintaan berterusan daripada pelbagai pusat data (DC) turut mengukuhkan lagi keperluan naik taraf grid nasional oleh TNB sendiri," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sehingga akhir tahun lepas, kumpulan itu membekalkan elektrik kepada 35 projek DC dengan jumlah permintaan maksimum 4.5 gigawatt (GW), bertambah daripada sebanyak 29 projek pada September 2025.
Penggunaan beban turut melonjak 20% suku ke suku (QoQ) kepada 850 megawatt (MW). Secara kumulatif, perjanjian bekalan elektrik dimeterai kini melibatkan 56 projek dengan jumlah permintaan 7.5GW.
TA Securities menambah, ia meningkat berbanding kira-kira 49 projek dengan 7.1GW sebelum ini, dan ia menjangkakan perbelanjaan modal (capex) TNB akan meningkat kepada RM13 bilion pada 2026.
"Malahan ia berpotensi naik kepada RM15 bilion pada 2027, sejajar dengan pelaksanaan projek grid dan mekanisme pemulihan capex luar jangka yang sudah dimuktamadkan," kata firma penyelidikan itu.
Sehubungan itu jelasnya, situasi tersebut membolehkan pulangan diiktiraf pada suku keempat tahun kewangan 2025, manakala dari segi penarafan pasaran, majoriti penganalisis kekal positif.
Kebanyakan memberi saranan 'beli' dan harga sasaran konsensus sekitar RM16 sesaham, dengan secara keseluruhan, prospek pertumbuhan pendapatan TNB teras dijangka kekal stabil dalam tempoh dua tahun.
"Unjuran ini disokong kadar cukai lebih rendah, peningkatan permintaan elektrik khususnya daripada segmen DC serta pelaksanaan pelaburan infrastruktur berskala besar," kata TA Securities. - DagangNews.com








