KUALA LUMPUR 10 Nov – InNature Bhd berjaya melengkapkan pengambilalihan penuh The Body Shop Singapore Pte Ltd bernilai S$2.96 juta (RM9.49 juta) pada 7 November lalu, sekali gus menjadikan entiti itu sebagai anak syarikat milik penuh kumpulan berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, selepas mengambil kira tunai yang diperoleh daripada entiti tersebut, aliran tunai bersih keluar bersamaan S$691,000 (RM2.22 juta).
Dengan pengambilalihan ini, InNature kini menguasai operasi The Body Shop di Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Singapura, memperkukuh kedudukan strategiknya di Asia Tenggara serta memperluas sinergi operasi dan jenama di rantau ini.
Pengarah Urusan InNature, Datin Mina Cheah-Foong berkata, langkah itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap jenama The Body Shop dan akan memacu peningkatan pengalaman pelanggan serta pertumbuhan di pasaran Singapura.
“Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk memperkukuh kehadiran serantau dan memastikan kesinambungan jenama The Body Shop yang beretika serta mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif The Body Shop International, Mike Jatania, menyifatkan urus niaga tersebut sebagai penyambungan kerjasama selama 40 tahun antara kedua-dua pihak, yang akan memberi manfaat kepada kakitangan, pengguna dan pembangunan pasaran serantau.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, InNature mencatatkan keuntungan bersih RM1.12 juta daripada hasil RM61.12 juta, menurun berbanding keuntungan RM3.83 juta daripada hasil RM62.79 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Setakat tarikh tersebut, kumpulan itu mempunyai tunai RM13.93 juta, pelaburan RM27.81 juta dan hutang minimum RM240,000, mencerminkan kedudukan kewangan yang kukuh dan berhati-hati dalam pengurusan modal.
Pada Isnin, saham InNature meningkat 0.5 sen kepada 18.5 sen, menjadikan nilai pasaran kumpulan berjumlah RM130.6 juta, walaupun mencatat penurunan 5.1% sejak awal tahun. - DagangNews.com








