Infomina peroleh kontrak RM66.13 juta daripada KDN bagi penyelenggaraan infrastruktur teknologi JPN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Infomina peroleh kontrak RM66.13 juta daripada KDN bagi penyelenggaraan infrastruktur teknologi JPN

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov – Infomina Bhd menerima Surat Setuju Terima daripada Kementerian Dalam Negeri bagi kontrak bernilai RM66.13 juta untuk menyediakan perkhidmatan operasi, penyelenggaraan dan sokongan infrastruktur teknologi kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kontrak selama tiga tahun itu melibatkan penyelenggaraan menyeluruh ke atas infrastruktur operasi sistem teras JPN serta pusat data hijau (green data centre) menggunakan model berasaskan prestasi.

 

“Skop kerja kontrak termasuk penyelenggaraan pencegahan dan pembaikan, pembaharuan lesen perisian, sokongan teknikal di tapak, kemudahan pemulihan bencana dan sandaran (backup), serta latihan berkaitan.

 

“Kontrak ini dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan Kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya,” kata Infomina.

 

Kontrak berkuat kuasa mulai 17 November 2025 hingga 16 November 2028. 

 

Sebarang lanjutan atau pembaharuan selepas tempoh kontrak akan tertakluk kepada budi bicara Kementerian Dalam Negeri.

 

Pada 14 Oktober lalu, Infomina dilaporkan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM8.13 juta bagi suku pertama berakhir 31 Ogos 2025, sedikit meningkat berbanding RM8.02 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Ia disokong oleh peningkatan hasil dan pengurusan kos yang berdisiplin. Infomina merekodkan pendapatan RM54.63 juta, meningkat 18.3% daripada RM46.18 juta tahun sebelumnya.

 

Keuntungan kasar turut naik kepada RM14.91 juta berbanding RM14.44 juta sebelum ini.

 

Dalam laporan kewangan suku pertama yang belum diaudit, Infomina berkata prestasi positif itu didorong oleh projek penyelenggaraan dan perkhidmatan berulang di pasaran serantau, termasuk daripada pelanggan utama dalam sektor kewangan dan kerajaan.

 

Pertumbuhan sederhana itu disifatkan menggambarkan ketahanan model perniagaan Infomina walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar. - DagangNews.com