KUALA LUMPUR 9 April – Infoline Tec Group Berhad memperkukuh operasi dengan pengambilalihan dua bangunan kilang bernilai RM18.58 juta di Sungai Buloh, Selangor bagi dijadikan ibu pejabat baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Infoline IT Solutions Sdn Bhd memeterai dua perjanjian jual beli pada 8 April 2026 bagi hartanah berkenaan.
Pemerolehan itu melibatkan unit kilang berkembar tiga tingkat di Lot 10 dan Lot 11 daripada Huayi (SEA) Sdn Bhd dan Orionis Technology (M) Sdn Bhd, yang masing-masing dibeli pada harga RM9.29 juta.
"Jumlah keseluruhan itu adalah sedikit rendah berbanding nilai pasaran RM18.6 juta ditentukan penilai bebas, VPC Alliance (KL) Sdn Bhd pada 5 Mac 2026," maklum Infoline Tec kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun menurut kenyataan tersebut, Lembaga pengarah berpandangan harga pembelian itu adalah wajar memandangkan kadarnya lebih rendah daripada nilai semasa pasaran hartanah tersebut sendiri.
Kedua-dua hartanah berkenaan jelas kumpulan itu terletak bersebelahan dengan keluasan tanah 787.5 meter persegi setiap satu dan keluasan binaan 761 meter persegi, dengan tempoh pajakan 99 tahun.
Di samping itu, Infoline Tec menjelaskan, langkah pembelian tersebut dibiayai sepenuhnya secara tunai melalui gabungan pinjaman bank sekitar 85%, manakala bakinya membabitkan dana dalaman.
"Pembayaran akan dibuat secara berperingkat, dengan sejumlah 90% daripada harga pembelian itu diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas syarat perjanjian berkenaan dipenuhi," tambahnya.
Selepas pengambilalihan selesai, kumpulan itu menjangka menanggung kos tambahan bagi kerja pengubahsuaian dan kelengkapan pejabat, bergantung kepada pelan akhir yang ditentukan kemudian.
Kedua-dua perjanjian tersebut kata Infoline Tec, adalah saling bergantung dan akan diselesaikan secara serentak, dengan hartanah dipindah milik dalam keadaan bebas daripada sebarang bebanan.
Syarikat itu tidak menjangka sebarang liabiliti tambahan selain yang berkaitan dengan perjanjian, dan pengambilalihan ini diunjur menyokong keperluan operasi jangka panjang. - DagangNews.com








