Inflasi tunjuk tanda terkawal pada Jun 2026, PublicInvest unjur OPR kekal 2.75% hingga akhir tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi tunjuk tanda terkawal pada Jun 2026, PublicInvest unjur OPR kekal 2.75% hingga akhir tahun

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 JulaiKadar inflasi Malaysia terus menunjukkan tanda-tanda terkawal apabila susut kepada 1.9% pada Jun 2026, berbanding 2% bagi bulan sebelumnya, menurut Public Investment Bank.

 

Situasi itu mengukuhkan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 2.75% sehingga akhir tahun, meskipun harga minyak dunia naik akibat risiko ketegangan geopolitik.

 

Firma itu berkata, tekanan inflasi domestik masih didominasi faktor kos dan belum menunjukkan kesan pusingan kedua yang ketara susulan harga minyak melepasi julat unjuran bagi separuh kedua 2026.

 

"Justeru, kami mengekalkan unjuran indeks harga pengguna (IHP) bagi 2026 pada 2.1%, dan menjangka BNM terus mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan dasar monetari," jelas PublicInvest.

 

Menurutnya, inflasi utama susut kepada 1.9% pada Jun berbanding 2.0% pada Mei, menjadikan purata inflasi bagi suku kedua 2026 (2Q26) meningkat kepada 1.9% daripada hanya 1.6% pada suku pertama.

 

Ujarnya, inflasi sederhana dipacu pertumbuhan harga lebih perlahan dalam kategori pengangkutan, penjagaan diri, perlindungan sosial, pendidikan serta pelbagai barangan dan perkhidmatan pengguna.

 

inflasi_DagangNews2026
Gambar Kamaliza Kamaruddin / DagangNews.com

 

PublicInvest berkata, inflasi makanan kekal 1.4%, manakala kategori pakaian dan kasut mencatatkan deflasi ringan sebanyak 0.1%, mencerminkan tekanan harga yang masih tidak sekata dalam ekonomi.

 

"Di peringkat negeri, Sarawak merekodkan kadar inflasi terendah iaitu 0.4%, manakala tujuh negeri mencatatkan kadar melebihi purata nasional 1.9%, diterajui Pahang pada 2.6%," tambah firma itu.

 

Cabaran utama bagi separuh kedua 2026 ialah risiko kenaikan harga tenaga, kos penghantaran dan insurans susulan ketidaktentuan di Timur Tengah boleh meningkatkan kos rantaian bekalan global.

 

Bagaimanapun jelas PublicInvest, kerajaan dijangka mengurangkan impak langsung kepada pengguna menerusi program BUDI95, yang masih mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.

 

Kenaikan harga minyak yang berpanjangan namun boleh memberi kesan kepada kos logistik, pengedaran makanan, tarif elektrik, mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA) serta harga makanan.

 

"Kami menjangkakan BNM mengekalkan pendirian dasar monetari semasa memandangkan aktiviti ekonomi domestik masih berdaya tahan, dengan sebarang kenaikan OPR mungkin dipertimbangkan," katanya.

 

Situasi itu ujar PublicInvest, sekiranya tekanan inflasi merebak kepada sektor perkhidmatan, gaji, jangkaan inflasi atau kos import yang dipengaruhi oleh pergerakan ringgit. - DagangNews.com