Inflasi Malaysia naik 1.3% pada Ogos didorong peningkatan dalam insurans dan perkhidmatan kewangan - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia naik 1.3% pada Ogos didorong peningkatan dalam insurans dan perkhidmatan kewangan - DOSM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Sept – Inflasi negara mencatatkan peningkatan 1.3% pada Ogos 2025, apabila Indeks Harga Pengguna (CPI) naik kepada 134.9 mata berbanding 133.2 pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh lonjakan dalam insurans dan perkhidmatan kewangan, yang naik 5.6% berbanding 5.5% pada bulan sebelumnya sekali gus mengekalkan momentum inflasi sektor perkhidmatan.

 

"Peningkatan inflasi juga dipengaruhi kenaikan penjagaan diri, perlindungan sosial dan barangan/perkhidmatan lain: +4.0% (Julai: 3.9%), perkhidmatan restoran dan penginapan: +3.5% (Julai: 3.1%), pendidikan: +2.4% (Julai: 2.2%).

 

"Data turut menunjukkan peningkatan dalam makanan dan minuman: +2.0% (Julai: 1.9%), rekreasi, sukan dan budaya: +0.9% (Julai: 0.8%) dan perabot serta penyelenggaraan isi rumah: +0.2% (Julai: 0.1%)

 

"Kumpulan makanan dan minuman, yang menyumbang 29.8% daripada berat CPI, kekal sebagai komponen utama inflasi. Namun, makanan di rumah mencatatkan deflasi -0.1%, berbanding -0.3% pada Julai, manakala makanan di luar kekal tinggi pada kadar 4.3%," kata DOSM dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, menjelaskan 59.7% item dalam bakul CPI menunjukkan kenaikan harga.

 

“Sebanyak 342 daripada 573 item mencatat peningkatan. Daripada jumlah itu, 332 item meningkat kurang daripada 10%, manakala hanya 10 item naik lebih 10%,” jelas beliau.

 

Sebanyak 185 item (32.3%) menurun harga, manakala 46 item kekal tidak berubah.

 

Inflasi bagi bahan api kekal dalam kadar negatif, menyumbang kepada penurunan kos pengangkutan: RON97: -9.2% (Ogos: RM3.15/l vs Ogos 2024: RM3.47/l), Diesel (Semenanjung): -5.7% (Ogos: RM2.90/l vs Ogos 2024: RM3.27/l) dan Diesel (Sabah, Sarawak & Labuan): Kekal RM2.15/l.

 

Daripada segi negeri, 10 negeri mencatat kadar inflasi di bawah paras nasional 1.3%, sementara Kelantan mencatat inflasi terendah pada hanya 0.1%.

 

Empat negeri mencatat kadar inflasi melepasi paras kebangsaan ialah Johor 2.0%, Selangor & Terengganu 1.5% dan Negeri Sembilan 1.4%. - DagangNews.com