Inflasi Malaysia dijangka masih terkawal walaupun kadar SST dinaikkan - MARC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia dijangka masih terkawal walaupun kadar SST dinaikkan - MARC

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Kadar inflasi Malaysia dijangka akan terus terkawal walaupun kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan baru-baru ini, menurut MARC Ratings.

 

Ketua Ahli Ekonomi MARC, Dr. Ray Choy berkata, dasar monetari global kini menunjukkan pendekatan lebih longgar, selaras dengan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus pada Julai, selepas Bank Pusat Eropah memulakan kitaran pelonggaran dasar pada 2024.

 

“Pasaran juga telah mengambil kira kemungkinan dua kali pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menjelang akhir 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi prospek domestik, beliau menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.4 peratus pada 2025, disokong oleh permintaan dalaman yang kukuh termasuk penggunaan swasta, aktiviti pelaburan serta pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan.

 

Tambah beliau, pasaran bon Malaysia kekal stabil, disokong oleh permintaan asing yang teguh terhadap sekuriti kerajaan dan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang positif.

 

Mengulas mengenai aliran perdagangan, beliau berkata kadar tarif purata AS sejak 1989 adalah sekitar 2.7 peratus, namun ketegangan perdagangan semasa dijangka akan mendorong peningkatan kadar tersebut ke paras dua digit.

 

“Setakat 10 Julai 2025, data menunjukkan pentadbiran Trump telah menurunkan kadar tarif awal ke atas 59.1 peratus rakan dagang AS, dengan purata peningkatan tarif sebanyak 1.5 peratus dan penurunan sebanyak 7.3 peratus. 

 

“Ini mencerminkan usaha penyesuaian semula dasar perdagangan yang kompleks, dengan harapan hasil rundingan masa depan akan lebih baik,” jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARC, Arshad Mohamed Ismail berkata, sempadan antara ekonomi dan geopolitik semakin kabur, sekali gus memberi implikasi besar terhadap strategi perniagaan global, dasar awam dan kestabilan kewangan.

 

Beliau menegaskan risiko ekonomi dan geopolitik kini semakin berkait rapat, dengan tarif digunakan sebagai alat strategik dalam dasar luar AS, manakala gangguan pasaran tenaga global terus menjejaskan rantaian bekalan di seluruh dunia.

 

“Tarif AS kini bukan lagi semata-mata instrumen ekonomi, sebaliknya mencerminkan keutamaan politik dan strategik yang lebih meluas.

 

“Bagi syarikat dan institusi kewangan, mereka perlu memahami situasi itu dan merancang secara berhemah dalam mengurus risiko dengan lebih berkesan, katanya.

 

Tambah Arshad, bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia, landskap global masa kini memerlukan pendekatan daya saing yang lebih tangkas dan pelbagai dimensi.

 

“Kita perlu keluar daripada kerangka fikir bahawa daya saing hanya bergantung kepada eksport atau kos semata-mata. Dalam dunia hari ini, ia turut melibatkan keupayaan untuk berdaya tahan, mempelbagaikan sumber dan membina pakatan strategik,” katanya. - DagangNews.com