Inflasi Malaysia berpotensi susut kepada 2.0% pada tahun ini, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia berpotensi susut kepada 2.0% pada tahun ini, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 April - Kadar inflasi Malaysia pada 2025 diunjur menyusut kepada 2.0 peratus berbanding ramalan awal sebanyak 2.3 peratus, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu bagaimanapun dilihat tinggi sedikit berbanding kadar inflasi 1.8 peratus yang dicatatkan pada 2024.


Katanya, penurunan kadar itu mampu dicapai meskipun berlaku kenaikan gaji minimum pekerja ditetapkan kerajaan pada Februari 2025 dan diikuti faktor perbelanjaan masyarakat Islam sepanjang sambutan bulan Ramadan pada Mac 2025.


"Kami mengurangkan ramalan dengan mengambil kira kadar cukai perkhidmatan dan jualan (SST) yang lebih tinggi dan skop lebih luas bermula 1 Mei 2025 serta isu rasionalisasi subsidi petrol RON95," katanya dalam nota kajian.


Selain itu katanya, penurunan unjuran turut melihat semakan semula tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada pertengahan 2025 dan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke atas pekerja asing pada suku terakhir tahun ini.


Maybank IB berkata, perkembangan itu mengakibatkan inflasi berkurangan kepada 1.4 peratus pada Februari 2025 tahun ke tahun (YoY) daripada 1.5 peratus manakala jika dilihat tempoh bulan ke bulan (MoM) pula adalah 0.4 peratus. 


"Dengan kadar inflasi purata suku pertama sebanyak 1.5 peratus, kami menyemak unjuran 2025 kepada 2.0 peratus namun masih membayangkan risiko menaik kerana mengambil kira cukai jualan lebih tinggi ke atas item tidak penting," kata firma itu.


Ia termasuk barangan premium diimport dan skop cukai perkhidmatan secara lebih luas apabila kerajaan memasukkan transaksi perkhidmatan komersial antara perniagaan (B2B) yang sebelum ini dikecualikan berkuat kuasa pada 1 Mei 2025.


Perkara lain yang perlu diambil perhatian kata firma itu ialah, walaupun dasar kenaikan gaji minimum Fasa 1 mungkin ada kesan inflasi minimum, ia menjangkakan pasaran akan kekal berwaspada mengenai potensi risiko yang timbul.


"Situsi turun naik harga komoditi global dan dasar perdagangan global susulan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mungkin menjejaskan faktor yang menyumbang kepada tekanan inflasi lebih tinggi," kata Maybank IB. - DagangNews.com