Inflasi dikhuatiri meluas berikutan peningkatan harga minyak global, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi dikhuatiri meluas berikutan peningkatan harga minyak global, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Mac — Lonjakan harga minyak akibat konflik di Timur Tengah mula menimbulkan risiko inflasi yang lebih meluas serta membayangi prospek perdagangan Malaysia, menurut penganalisis.


Meskipun negara ini kekal sebagai pengeksport bersih tenaga, tekanan kos daripada kenaikan harga kini semakin dirasai dalam rantaian bekalan dan berpotensi merebak kepada pelbagai komponen teras.


MBSB Research dalam analisisnya menjangkakan inflasi terus meningkat sepanjang suku pertama tahun ini, akibat faktor penawaran dan permintaan, dengan pengeluar tempatan berdepan tekanan kos input.


Data terkini menunjukkan inflasi utama menyederhana kepada 1.4% tahun ke tahun (YoY) pada Februari 2026 berbanding 1.6% pada Januari 2026, manakala inflasi teras pula turun kepada 2% daripada 2.3%.


"Bagaimanapun inflasi makanan kekal menjadi kebimbangan utama, meskipun ada pelarasan harga petrol dengan risiko kenaikan masih wujud susulan peningkatan harga baja dan urea,” kata firma tersebut.


Tambah MBSB Research, lebih satu pertiga perdagangan baja global melalui perairan Selat Hormuz, menjadikan gangguan geopolitik sebagai faktor utama yang boleh meningkatkan tekanan inflasi.


Dalam masa sama jelasnya, pengukuhan nilai ringgit dilihat mungkin membantu dalam meredakan paras inflasi import serta mengurangkan pemindahan kos kepada para pengguna di rantaian akhir bekalan.


Sementara itu, CIMB Research berpandangan tekanan inflasi masih terkawal buat masa ini, disokong oleh persekitaran sebelum konflik yang stabil serta langkah subsidi bahan api oleh kerajaan.


"Kami menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%, memandangkan mekanisme subsidi mengehadkan kesan langsung kenaikan harga minyak global," katanya.

 

minyak dan gas


Namun begitu tambah firma penyelidikan tersebut, ia mengunjurkan inflasi utama boleh menghampiri 2% pada Mac 2026, dipacu oleh tekanan berkaitan bahan api, manakala inflasi teras kekal stabil.


Dari sudut perdagangan, CIMB Research memberi amaran kenaikan harga minyak memberi kesan, apabila manfaat sebagai pengeksport tenaga diimbangi peningkatan kos import produk petroleum bertapis.


Lebihan perdagangan tenaga mungkin terhakis apabila mengambil kira import berkaitan, menjadikan kenaikan harga minyak global sebagai 'pedang dua mata' kepada ekonomi Malaysia sendiri,” jelasnya.


"Kami turut meramal peningkatan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah hanya berfasa disebabkan struktur kontrak harga, sekali gus menyebabkan kemerosotan imbangan dagangan," katanya.


Lebihan dagangan Malaysia jelas CIMB Research, mengecil kepada RM16.7 bilion pada Februari 2026 daripada RM22 bilion pada Januari 2026 apabila eksport merosot lebih ketara berbanding import.


Dalam perkembangan berkaitan, UOB Kay Hian Research memberi amaran kos input serta kekurangan bekalan bahan mentah bukan minyak dan gas boleh menjejaskan tempahan eksport dalam masa terdekat.


Firma penyelidikan itu turut mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport 2026 iaitu 2.5%, lebih rendah daripada jangkaan kerajaan sebanyak 2.8%, dengan risiko ketika ini cenderung ke arah penurunan.


"Kami menegaskan prestasi eksport Malaysia kekal terdedah kepada ketidaktentuan luaran termasuk ketegangan geopolitik, potensi kenaikan tarif serta lebihan kapasiti sektor pembuatan," katanya.


Bagaimanapun terdapat sedikit sokongan daripada kemungkinan peningkatan penghantaran barangan elektrik dan elektronik (E&E) lebih awal susulan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com