KUALA LUMPUR 9 Sept – Industri media yang kini tenat perlu berani melaksanakan transformasi menyeluruh termasuk melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) strategik bagi memperkukuhkan skala jangkauan demi kelangsungan jangka panjang, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah M&A itu juga berpotensi meluaskan jangkauan ke pasaran serantau untuk menembusi audiens baharu dan mempelbagaikan sumber pendapatan.
Katanya, strategi pemotongan kos semata-mata seperti pengurangan kakitangan, pelupusan aset dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), hanya penyelesaian jangka pendek.
"Selain itu pelupusan aset bukan teras seperti pencetakan fizikal dan infrastruktur siaran analog juga membantu dan pemfokusan semula kepada pemilikan dan penskalaan IP tempatan yang boleh dikomersialkan dalam pelbagai saluran – termasuk OTT, pawagam, penstriman dan pelesenan antarabangsa.
"Tanpa langkah transformasi menyeluruh, syarikat media tradisional berisiko terus kehilangan kepentingan apabila perhatian pengguna dan bajet pengiklanan semakin tertumpu kepada platform digital sebagai pilihan utama," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga berkata, unjuran tahun kewangan 2025 menunjukkan penurunan perbelanjaan iklan (Adex) sebanyak 14% YoY kepada RM4.72 bilion, dengan kemerosotan dalam semua segmen utama.
TV percuma merekodkan penurunan -14%, media digital: -30%, akhbar: -5%, majalah: -8% dan pawagam: -3%.
"Satu-satunya pengecualian ialah segmen radio, yang menunjukkan sedikit ketahanan dari segi penerimaan iklan," kata firma itu.
Menurut Kenanga, berdasarkan data terkini, hanya 25% syarikat media di bawah liputan firma berjaya melepasi jangkaan pasaran dalam 2Q25 — satu peningkatan berbanding 1Q25, yang menyaksikan kegagalan menyeluruh.
Namun begitu, kelemahan asas masih ketara iaitu Adex bagi separuh pertama 2025 merosot secara menyeluruh dengan kemerosotan dua angka bagi pemain utama seperti ASTRO (-19%), MEDIAC (-13%) dan penurunan 25% bagi akhbar cetak STAR menurut data Nielsen.
Belanja pengiklanan korporat juga kian mengecil, didorong oleh pemotongan bajet pemasaran MNC dan peralihan ke media digital kos rendah.
Kenanga berkata, sektor media juga terus dibelenggu oleh tekanan kos legasi seperti infrastruktur penyiaran fizikal dan operasi cetakan, di samping saingan sengit daripada pemain digital yang lebih lincah dan berskala besar.
Justeru itu, penarafan UNDERWEIGHT terhadap sektor ini dikekalkan, selaras dengan prospek keuntungan yang kekal suram dalam jangka pendek.
Kenanga berkata, di sebalik cabaran semasa, sektor media masih mempunyai kelebihan unik, terutamanya dalam penguasaan budaya tempatan dan kredibiliti jangka panjang seperti dapat disaksikan dalam kejayaan penerbitan filem tempatan seperti Ejen Ali dan Blood Brothers yang mencetuskan sedikit peningkatan hasil.
Katanya, usaha penciptaan harta intelek (IP) tempatan oleh MEDIA Prima dan ASTRO bukan lagi sekadar inisiatif kreatif tetapi satu keperluan strategik.
Astro Shaw, contohnya, menguasai 71% pasaran pawagam Malaysia dengan kutipan RM121 juta tahun ini – menunjukkan kekuatan kandungan lokal apabila dilaksanakan dengan betul. Namun, kejayaan ini masih bermusim dan bukan struktur pendapatan utama. - DagangNews.com








