KUALA LUMPUR 2 Mei - Industri insurans am Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan yang stabil walaupun menghadapi ketidaktentuan luar dan kos inflasi.
Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, sektor insurans am dalam negara dijangka terus berkembang pada 2025, didorong oleh pemulihan ekonomi dan permintaan yang meningkat untuk produk insurans digital.
"Selain peningkatan dalam insurans kenderaan elektrik, minat terhadap insurans bencana alam juga semakin meningkat.
"Inflasi kos perubatan kekal menjadi kebimbangan, dengan unjuran kenaikan dari 15% pada 2024 kepada 16.4% pada 2025, jauh lebih tinggi daripada purata Asia Pasifik iaitu 10%," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut PIAM, industri insurans am Malaysia menunjukkan prestasi kukuh dengan premium kasar meningkat 6.9% kepada RM23.1 bilion pada 2024, didorong oleh pemulihan jualan kenderaan dan permintaan berterusan dalam insurans infrastruktur dan liabiliti.
PIAM berkata, segmen motor, kebakaran, marin, penerbangan dan transit adalah penyumbang utama kepada peningkatan premium, hasil permintaan yang kuat dan usaha pemulihan industri di bawah pelan ekonomi negara.
Katanya, insurans motor menyumbang jumlah premium terbesar, meningkat 6.7% atau RM651.1 juta berbanding tahun lalu, didorong oleh kenaikan 2.1% dalam pendaftaran kenderaan baharu, menurut laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
"Premium insurans kebakaran naik 5.8% bersamaan RM258.5 juta, disebabkan peningkatan 4.9% dalam purata premium, yang mencerminkan kos bahan dan pembinaan semula yang lebih tinggi.
"Namun, insurans kebakaran masih menjadi penyumbang kedua terbesar dan terus mencatat keuntungan dengan nisbah tuntutan bersih 34.1%, walaupun kos perlindungan semula meningkat dan kejadian seperti banjir, ribut serta tanah runtuh semakin kerap berlaku," ujarnya. - DagangNews.com








