Industri insurans am berkembang 4.8% pada 2025, catat keuntungan pengunderaitan RM1.2 bilion – PIAM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri insurans am berkembang 4.8% pada 2025, catat keuntungan pengunderaitan RM1.2 bilion – PIAM

Ng Kok Kheng, Pengerusi PIAM (kiri) bersama Chua Kim Soon, CEO PIAM - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 6 Mei - Industri insurans am Malaysia mencatat Premium Bertulis Kasar (PBK) sebanyak RM24.2 bilion pada 2025, meningkat 4.8 peratus daripada RM23.1 bilion pada 2024, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan berterusan dalam segmen insurans motor dan kebakaran, menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

 

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon berkata industri itu mengekalkan momentum pertumbuhan tahun lalu, walaupun pada kadar lebih perlahan berbanding hampir tujuh peratus pada 2024.

 

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh dua kelas perniagaan terbesar iaitu insurans motor dan insurans kebakaran. Selain itu, insurans kemalangan diri (PA) juga mencatat pertumbuhan baik dengan peningkatan dua angka,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

 

Insurans motor kekal sebagai segmen terbesar dengan 45.2 peratus daripada jumlah perniagaan insurans am, diikuti insurans kebakaran sebanyak 20.9 peratus.

 

Insurans marin, penerbangan dan transit (MAT) menyumbang 7.4 peratus daripada portfolio insurans am, diikuti insurans kemalangan diri (PA) sebanyak 6.5 peratus dan insurans perubatan dan kesihatan (MHI) sebanyak 5.1 peratus.

 

Chua berkata segmen MAT mencatat penurunan kecil berikutan ketegangan geopolitik dan kelembapan aktiviti perdagangan global, manakala insurans PA meningkat 12 peratus, dipacu oleh permintaan insurans perjalanan.

 

Pengunderaitan

Chua turut memaklumkan keuntungan pengunderaitan industri meningkat RM125 juta tahun ke tahun kepada RM1.2 bilion, manakala nisbah gabungan keseluruhan bagi keputusan pengunderaitan kekal pada 93 peratus.

 

“Ini satu perkembangan menggalakkan kerana ia menunjukkan industri kekal kukuh dan mampu terus melindungi orang awam serta pengguna pada masa hadapan,” katanya.

 

Namun, beliau berkata walaupun prestasi keseluruhan industri masih sihat, tanda-tanda peningkatan trend tuntutan dan tekanan kos semakin mula kelihatan.

 

Menurut Chua, impak geopolitik kekal antara cabaran utama industri.

 

“Seperti kita sedia maklum, tahun lalu menyaksikan pelaksanaan tarif dan pelbagai langkah lain yang memberi kejutan kepada persekitaran kewangan dan ekonomi global. Terdapat ketidaktentuan ketara yang menjejaskan aliran perdagangan dan pelaburan.

 

“Perkembangan ini turut memberi kesan kepada rantaian bekalan, harga tenaga dan kos logistik. Syarikat insurans terus memantau perkembangan luaran ini dengan teliti dan menyesuaikan operasi secara berterusan,” katanya.

 

Cabaran Industri

Chua turut menyenaraikan perubahan iklim, penggunaan kenderaan elektrik serta tekanan inflasi sebagai antara cabaran utama industri.

 

Bagaimanapun, beliau berkata industri insurans Malaysia kekal berdaya tahan dan berjaya mengharungi cabaran tersebut dengan gangguan minimum kepada pemegang polisi. – BERNAMA