Icon Sunsuria buka pusat kanser kedua di Kuala Lumpur menjelang suku ketiga 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Icon Sunsuria buka pusat kanser kedua di Kuala Lumpur menjelang suku ketiga 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai – Icon Sunsuria Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan kesihatan akan menubuhkan pusat rawatan kanser kedua di Malaysia yang dijadual mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunsuria berkata Icon Sunsuria telah dilantik sebagai penyedia penjagaan onkologi di bawah jenama Icon di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

 

Sebelum ini, Icon Sunsuria telah bekerjasama dengan Island Hospital untuk menubuhkan pusat rawatan kanser yang pertama di Pulau Pinang.

 

Penubuhan Icon Sunsuria adalah hasil usaha sama Icon Asia Holdings Pte Ltd, syarikat berpangkalan di Australia yang memegang 70% kepentingan dan baki 30% kepentingan oleh Sunsuria Integrated Healthcare Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh Sunsuria Bhd.

 

Sunsuria optimis dapat memperluaskan akses kepada rawatan kanser berkualiti tinggi di seluruh negara dengan memanfaatkan model penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa milik Icon serta jalinan kerjasama strategik bersama penyedia penjagaan kesihatan tempatan.

 

Sunsuria menjelaskan peluasan operasi itu tidak akan memberi kesan ketara terhadap pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025.

 

"Peluasan operasi ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat," katanya. - DagangNews.com