iCents Group catat untung bersih terkumpul RM6.88 juta sebelum penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

iCents Group catat untung bersih terkumpul RM6.88 juta sebelum penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Penyedia perkhidmatan bilik bersih dan fasiliti, iCents Group Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.84 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (3Q FY2025), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Julai ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Syarikat itu melaporkan hasil suku tahunan berjumlah RM18.85 juta, dengan perkhidmatan fasiliti lain menyumbang RM13.13 juta atau 69.68% daripada jumlah itu. 

 

“Perkhidmatan bilik bersih pula menjana RM5.72 juta atau 30.32%.

 

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan semasa, iCents mencatatkan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM6.88 juta dengan jumlah hasil mencecah RM62.78 juta,” katanya.

 

Tiada perbandingan disediakan memandangkan ini merupakan laporan kewangan interim pertama syarikat sebelum penyenaraian,” menurut iCents.

 

Syarikat itu berkata, pertumbuhan berterusan dalam industri elektrik dan elektronik serta farmaseutikal di Malaysia dijangka merangsang permintaan bagi kemudahan bilik bersih, sekaligus membuka peluang baharu kepada penyedia perkhidmatan sepertinya.

 

iCents terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan serta pengujian dan pentauliahan bilik bersih untuk sektor pembuatan semikonduktor, pusat data, farmaseutikal dan sains hayat. 

 

Ia juga menawarkan pelbagai perkhidmatan fasiliti termasuk pemasangan jentera, sistem siling tugas berat, kerja pembinaan dan penyelenggaraan.

 

Syarikat itu akan menerbitkan 112.5 juta saham baharu dan menawarkan 30 juta saham milik pengarah eksekutif untuk jualan sempena tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 24 sen sesaham. 

 

Tawaran ini dijangka meraih dana sehingga RM34.2 juta.

 

Hasil kutipan IPO akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu, pengembangan perniagaan termasuk pembukaan fasiliti di Negeri Sembilan serta pejabat baharu di Indonesia, Singapura dan Sarawak.

 

Selebihnya diperuntukkan kepada pembangunan produk, aktiviti pemasaran, modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian. - DagangNews.com