KUALA LUMPUR 7 Julai - iCents Group Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan bilik bersih dan kemudahan fasiliti, dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan tahunan dari tahun ini hingga 2027, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu menjangka pertumbuhan keuntungan iCents ialah sebanyak 23.7%, naik kepada RM8.7 juta pada tahun ini, 43.6% (RM12.5 juta pada 2026) dan 6.9% (RM13.3 juta pada 2027).
Syarikat itu juga kini dalam proses menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 17 Julai ini.
Firma itu menyatakan unjuran pertumbuhan tersebut disokong oleh andaian nilai kerja belum disiapkan bernilai RM93.2 juta setakat Jun 2025, sasaran pengisian semula kontrak tahunan RM140 juta serta pertumbuhan tahunan 20% dalam segmen lain.
Penawaran awam permulaan (IPO) dijangka meraih kutipan sebanyak RM27 juta.
iCents adalah penyedia perkhidmatan dalam pembinaan bilik bersih yang merangkumi kejuruteraan, perolehan, pembinaan, ujian dan pentauliahan.
Laporan penyelidikan bebas oleh Vital Factor Consulting juga menunjukkan prestasi industri bilik bersih bergantung rapat kepada industri pengguna akhir yang berprestasi tinggi, khususnya sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik serta farmaseutikal.
Antara 2022 hingga 2030, sektor pembuatan dijangka mencatat pertumbuhan sumbangan nilai tambah pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6.5%, didorong oleh sektor-sektor berimpak tinggi.
TA Research turut menjangkakan kedudukan kewangan iCents akan bertambah kukuh dengan berubah daripada kedudukan liabiliti bersih sebanyak RM5.7 juta pada Disember lalu kepada kedudukan tunai bersih berjumlah RM16.1 juta selepas penyenaraian.- DagangNews.com








