IAG Guardian jadi aset baharu PDRM, tingkatkan keupayaan skuadron perisai PGA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IAG Guardian jadi aset baharu PDRM, tingkatkan keupayaan skuadron perisai PGA

Kenderaan IAG Guardian 4x4 dengan corak celoreng PGA.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Kenderaan perisai IAG Guardian 4x4 secara rasmi menjadi aset baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila 4 buah kenderaan tersebut diserahkan kepada pasukan Sang Saka Biru.

 

Penyerahan kenderaan perisai ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan dan keselamatan anggota pasukan dalam melaksanakan tugasan di kawasan berisiko tinggi, termasuk operasi taktikal serta pengurusan rusuhan awam.

 

Kenderaan yang dibekalkan oleh Global Komited Sdn. Bhd., (Global Komited) ini berfungsi sebagai pengangkut berperisai (APC) bagi Pasukan Gerakan Am (PGA).

 

 

 

 

 

 

 

 

PGA akan mengoperasikan IAG Guardian bagi mempertingkatkan tahap keselamatan terutamanya mengekang pencerobohan di sempadan negara.

 

Kenderaan

 

Penerimaan IAG Guardian dapat mengurangkan kebergantungan kepada aset-aset perisai sedia ada PGA seperti Barracuda APC, Cadillac Gage Commando V-150 dan Sankey AT-105.

 

PGA sememangnya memerlukan aset-aset perisai baharu memandangkan dua jenis sedia ada, V-150 dan Sankey AT-105 merupakan kenderaan yang diwarisi sejak era 1970an.

 

Sebelum ini, syarikat Global Komited juga telah membekalkan 15 buah kenderaan perisai IAG Jaws kepada PDRM pada tahun 2015 yang kini digunakan pasukan 69 Komando.

 

Perolehan 4 buah kenderaan tersebut telah diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-12.

 

Kenderaan
Mohd Nasir (dua daripada kanan) menyerahkan replika kunci kepada Mohd Khalid sebagai simbolik penyerahan kenderaan perisai IAG Guardian di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
 

 

Kenderaan
Mohd Khalid diberi penerangan tentang ciri-ciri pemanduan kenderaan IAG Guardian.

 

IAG Guardian yang dibina oleh syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) direka khusus bagi kegunaan dalam operasi penguatkuasaan undang-undang dan ketenteraan. 

 

Ia mempunyai perlindungan balistik STANAG 4569 Tahap 2 dan perlindungan letupan manakala jentera utamanya menggunakan enjin 6.7L V8 Diesel (330hp) dengan transmisi automatik 10 kelajuan. 

 

Kenderaan ini boleh membawa 8 orang penumpang.

 

Sebelum ini, pasukan pengaman Malaysia, MALBATT yang beroperasi di Lubnan di bawah misi UNIFIL turut menggunakan kenderaan IAG Guardian 4x4 sejak tahun 2018. 

 

Kenderaan

 

Terdahulu majlis penyerahan kenderaan IAG Guardian 4x4 ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited, Datuk Ir. Mohd Nasser Israil kepada Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

 

 

 

 

 

 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama barisan pengarah kanan PDRM yang lain.

 

Majlis ini turut menandakan komitmen berterusan PDRM dalam memastikan kesiapsiagaan pasukan selaras dengan perkembangan semasa landskap keselamatan negara. - DagangNews.com