Hutang meningkat dan margin lemah, MBSB Research kekal penarafan Neutral terhadap Unisem | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hutang meningkat dan margin lemah, MBSB Research kekal penarafan Neutral terhadap Unisem

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei – MBSB Research mengekalkan penarafan Neutral terhadap Unisem (M) Berhad walaupun menaikkan harga sasaran kepada RM3.91 daripada RM2.92 sebelum ini, berikutan semakan semula penilaian terhadap prospek syarikat.

 

Peningkatan harga sasaran itu disokong oleh pandangan lebih positif terhadap industri semikonduktor serta jangkaan pertumbuhan berterusan dalam permintaan global.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan kebimbangan terhadap margin keuntungan masih menjadi faktor utama yang mengekang sentimen terhadap saham tersebut.

 

“Unisem dilihat terus mendapat sokongan daripada permintaan kukuh dalam segmen pengurusan kuasa serta automotif yang menjadi pemacu utama pertumbuhan hasil.

 

“Permintaan pelanggan yang meningkat menyebabkan kapasiti pengeluaran syarikat tidak mencukupi untuk memenuhi semua tempahan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Unisem dalam rantaian bekalan global.

 

“Dari sudut struktur pendapatan, lebih 60% hasil pada suku pertama 2026 kini datang daripada produk bernilai lebih tinggi, menunjukkan perubahan campuran produk yang lebih menguntungkan kepada syarikat,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Bagi pecahan segmen pasaran, sumbangan automotif meningkat kepada 27% pada 1Q26 berbanding 20% pada 1Q25, mencerminkan pertumbuhan yang ketara dalam tempoh setahun.

 

MBSB Research berkata dalam masa sama, sumbangan automotif keseluruhan turut meningkat kepada 25% daripada 22% sebelum ini, manakala segmen lain terdiri daripada komunikasi sebanyak 19%, pengguna (21%) dan komputer (8%).

 

MBSB Research menyifatkan kepelbagaian portfolio ini memberi kelebihan kepada Unisem untuk berdepan perubahan kitaran permintaan global yang lebih dinamik.

 

Pada masa sama, trend global seperti “China for China” dan “No China No Taiwan” turut dijangka memberikan manfaat tambahan kepada kumpulan.

 

Dari sudut operasi, Unisem kini merancang fasa pengembangan baharu melibatkan Fasa 2 di Gopeng dan Fasa 5 Chengdu yang akan terus menyokong kapasiti pengeluaran masa hadapan.

 

Perancangan ini dijangka mengekalkan perbelanjaan modal (capex) pada paras tinggi dalam jangka masa terdekat hingga sederhana, sekali gus mengekalkan tekanan terhadap aliran tunai.

 

Dalam masa sama, kedudukan hutang bersih syarikat terus menunjukkan peningkatan ketara sejak pelaksanaan pelaburan besar di Gopeng, dengan trend kenaikan yang konsisten.

 

Hutang bersih meningkat daripada RM37.1 juta pada 2Q25 kepada RM167.3 juta pada akhir 2025, sebelum terus meningkat kepada RM243.4 juta pada 1QFY26.

 

Walaupun begitu, margin keuntungan dijangka bertambah baik apabila kilang Gopeng mula menyumbang secara lebih bermakna kepada pendapatan kumpulan.

 

Namun begitu, margin Unisem masih dijangka kekal lebih rendah berbanding pesaing utama dalam industri OSAT seperti MPI dan Inari yang mencatat margin lebih tinggi.

 

Secara keseluruhan, saham Unisem didagangkan pada tahap penilaian tinggi dengan nisbah PER sekitar 50x, jauh melebihi purata lima tahun serta paras +1SD pada 37.2x, menjadikannya dilihat sebagai sudah mendahului asas keuntungan semasa. - DagangNews.com