KUALA LUMPUR 21 Mei – Hup Seng Industries Berhad dijangka terus mencatat prestasi yang stabil namun sederhana bagi tahun kewangan 2026, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan hasil Hup Seng bagi FY2026 dijangka akan meningkat sekitar 7.4 peratus kepada RM423.8 juta, disokong oleh permintaan domestik yang kekal kukuh serta pemulihan berperingkat dalam pasaran eksport.
Bagaimanapun, firma itu menegaskan pertumbuhan keuntungan dijangka kekal sederhana, berikutan tekanan kos yang masih berterusan melibatkan bahan mentah, pembungkusan dan kos pengedaran.
“Segmen biskut kekal sebagai penyumbang utama prestasi kumpulan, dengan permintaan yang stabil disokong sifat produk sebagai barangan keperluan harian yang membantu mengekalkan pendapatan keseluruhan.
“Sebaliknya, segmen dagangan dijangka terus mencatat prestasi yang lebih lemah berbanding segmen teras biskut, mengehadkan potensi pertumbuhan keseluruhan Kumpulan,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Dari sudut pasaran luar, MBSB menyatakan prestasi eksport masih bercampur-campur dengan permintaan yang lebih kukuh dari beberapa pasaran seperti Thailand dan Myanmar, namun masih tidak sekata di beberapa negara lain.
Margin keuntungan pula dijangka kekal tertekan, namun stabil disokong oleh usaha pengurusan kos dalaman serta campuran produk yang lebih baik.
MBSB Research berkata walaupun tiada lonjakan ketara dalam pertumbuhan, Hup Seng masih mengekalkan asas perniagaan yang kukuh dan aliran pendapatan yang konsisten.
“Selain itu, dasar dividen syarikat dijangka kekal menarik, menjadikannya antara faktor utama yang menyokong minat pelabur terhadap saham tersebut.
“Oleh itu, kami mengekalkan saranan Beli ke atas saham Hup Seng dengan harga sasaran RM1.09 mencerminkan potensi kenaikan sekitar 9 peratus berbanding harga semasa,” katanya.
Secara keseluruhan, MBSB melihat Hup Seng sebagai saham defensif dengan profil pendapatan stabil, sesuai bagi pelabur yang mengutamakan pulangan dividen berbanding pertumbuhan agresif.- DagangNews.com








