Hubungan AS-Asean menuju era kegemilangan, kata Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hubungan AS-Asean menuju era kegemilangan, kata Anwar

KUALA LUMPUR 26 Okt - Ekonomi pesat Amerika Syarikat (AS) dan Asia Tenggara mempunyai potensi besar untuk membuka era kegemilangan bagi kedua-dua rantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Menurut Anwar, ini kerana perdagangan dua hala antara AS dan Asean mencecah rekod tertinggi sebanyak AS$453 bilion tahun lalu, sekali gus menyokong peluang pekerjaan dan perniagaan di kedua-dua pihak.

 

Bagi memperkukuh hubungan, Anwar berkata penerimaan kenyataan visi bersama Asean-AS akan menggalakkan perkongsian yang lebih kukuh, selamat dan makmur antara kedua-dua pihak.

 

“Ini mencerminkan tekad dan komitmen kita untuk menterjemahkan kerjasama kepada hasil konkrit yang memberi manfaat nyata kepada Asean dan Amerika Syarikat,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asean-AS ke-13 di ibu negara hari ini.

 

Anwar turut berkata berasaskan aspirasi bersama untuk keamanan dan kemakmuran, hubungan Asean-AS kini telah berkembang menjadi perkongsian strategik menyeluruh.

 

Sementara itu, Anwar menyifatkan pemeteraian Kuala Lumpur Accords antara Kemboja dan Thailand sebagai satu pencapaian yang jelas mencerminkan iltizam politik yang tinggi daripada kepimpinan dan rakyat kedua-dua negara.

 

“Tuan Presiden, Asean amat menghargai peranan penting anda dalam memudah cara perjanjian ini,” tambah beliau.

 

Anwar juga berkata Asean menyambut baik pelan komprehensif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menamatkan konflik Gaza.

 

“Ia memberi sinar harapan kepada dunia bahawa dalam konflik paling sukar sekalipun, diplomasi dan keteguhan tekad mampu mengatasi segalanya.

 

“Dan kami yakin bahawa dengan kepimpinan anda, Tuan Presiden, kita akan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Anwar.

 

Terdahulu, Trump dan Anwar menyaksikan majlis menandatangani KL Peace Accord antara Thailand dan Kemboja.

 

Trump menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 pada 26 Oktober dan dijadual berlepas ke Jepun pada 27 Oktober. - DagangNews.com