KUALA LUMPUR 22 Okt – Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan JS Solar Holding Bhd (JS Solar) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sempena Pameran dan Persidangan Produk Hijau & Ekoteknologi Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2025 bagi memacu pembangunan bersama projek tenaga solar pintar dan sistem penyimpanan tenaga (BESS) di seluruh negara.
Kerjasama strategik ini bertujuan mempercepat pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) JS Solar serta menyokong matlamat neutral karbon Malaysia.
Antara projek di bawah pelan JS Solar termasuk ladang solar berskala besar (LSS), ladang solar penggunaan sendiri (SELCO) jenis dipasang di tanah, sistem bumbung hibrid dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).
Pengarah Urusan JS Solar Holding Bhd, Chai Jeun Sian berkata, pihaknya berbesar hati dapat mengukuhkan kerjasama dengan Huawei Digital Power ketika syarikat itu mengembangkan operasi ke Malaysia.
“Gabungan teknologi pintar fotovolta (PV) dan penyimpanan tenaga canggih Huawei dengan kepakaran pelaksanaan projek JS Solar akan menghasilkan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai, cekap dan mampan.
“Perkongsian ini menzahirkan komitmen bersama kami untuk menyokong aspirasi negara untuk mempercepatkan peralihan tenaga bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden Huawei Malaysia (Bahagian Kuasa Digital), Chong Chern Peng berkata, kerjasama dengan JS Solar akan memperkukuh infrastruktur tenaga boleh diperbaharui Malaysia.
“Melalui teknologi Smart PV dan sistem penyimpanan tenaga Huawei, JS Solar berupaya mengoptimumkan penjanaan kuasa, mengurus penggunaan tenaga dengan lebih berkesan, meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan kestabilan grid dalam pelbagai aplikasi tenaga.
“Kami sedang membangunkan ekosistem tenaga yang lebih pintar bagi menjamin prestasi stabil dalam keadaan mencabar,” katanya.
Di bawah kerjasama ini, JS Solar akan bertindak sebagai rakan Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC), manakala Huawei Malaysia menjadi penyedia teknologi dengan kepakaran digital kuasa dan penyelesaian Smart PV inovatif.
Teknologi Smart PV Huawei akan diintegrasikan dalam projek JS Solar bagi memperkenalkan sistem tenaga pintar bersepadu dan platform pengurusan digital yang mengoptimumkan penjanaan solar serta meningkatkan kecekapan dan kestabilan grid tenaga.

Integrasi ini turut membolehkan pemantauan lanjutan dan jangkaan penyelenggaraan bagi memastikan prestasi sistem jangka panjang serta keselamatan operasi.
Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam kajian, reka bentuk dan pelaksanaan teknologi gabungan Solar + Battery Energy Storage System (BESS), termasuk meneroka model perniagaan praktikal dan penyelesaian berskala bagi meningkatkan kecekapan tenaga boleh diperbaharui serta ketahanan grid elektrik.
Majlis menandatangani MoU tersebut diadakan semasa IGEM 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
MoU ditandatangani oleh Chai Jeun Sian dan Chong Chern Peng, disaksikan oleh Ahli Lembaga Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC) Datuk Leong Kin Mun dan Ismail Mohd Amin; Naib Presiden Perniagaan dan Strategi JS Solar, Ahmad Fareez Abd Jamil serta Pengarah Smart PV dan ESS Huawei Malaysia, Zhang Xiaoming.
Dalam pameran itu, Huawei Malaysia membawa tema “Powering Malaysia Forward” dengan menampilkan penyelesaian Smart PV untuk pelbagai situasi, kejayaan projek serantau serta Sistem Penyimpanan Tenaga (ESS) pembentukan grid utama.
Sistem itu direka untuk digunakan secara fleksibel dalam sektor utiliti, komersial dan industri (C&I) serta kediaman bagi menyokong kestabilan grid di seluruh rantaian bekalan tenaga.
Pakar Penyelesaian Huawei Malaysia, Damon Leong Wei Jie turut menyampaikan dua pembentangan semasa IGEM 2025 bertajuk “24 Years of Excellence: High-Quality and Utmost Safety in Serving Malaysia’s Energy Transition” pada hari pertama dan “Debunking the Myth of String Inverters on Floating Solar Power Plants” pada hari kedua.
Dalam sesi itu, beliau menekankan kepentingan pematuhan standard keselamatan serta menjelaskan salah tanggapan umum berkaitan teknologi sistem tenaga solar pintar.
Sejak dianjurkan pada 2010, IGEM kekal sebagai pameran teknologi hijau utama di Asia Tenggara dengan sokongan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar serta MGTC.
Acara tahunan itu menjana lebih RM58.1 bilion dalam potensi perniagaan dan menarik lebih 650,000 pengunjung termasuk perwakilan, kenamaan dan syarikat dari lebih 122 negara. - DagangNews.com








