HSS sasar peroleh RM13.5 juta menerusi IPO, rancang tingkatkan pengeluaran produk bakeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS sasar peroleh RM13.5 juta menerusi IPO, rancang tingkatkan pengeluaran produk bakeri

GOH Chen Chang (dua dari kiri) bergambar dengan Pengarah Eksekutif HSS, Goh Chen Ann (kiri); Pengarah Eksekutif M&A Securities, Datuk Bill Tan (dua dari kanan), dan Ketua Kewangan Korporat M&A Securities, Gary Ting (kanan).
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 Mei — Pengeluar produk bakeri, HSS Holdings Berhad menyasar untuk mengumpul sebanyak RM13.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Langkah tersebut menurut kenyataan kumpulan yang berpangkalan di Muar, Johor itu, dijangka dapat digunakan untuk memperkukuhkan lagi kapasiti pengeluaran dan meningkatkan kecekapan operasi.


IPO berkenaan jelas syarikat ang ditubuhkan sejak 2004 itu, melibatkan penerbitan sejumlah 74 juta saham baharu serta tawaran jualan 52.5 juta saham yang sedia ada pada harga 18 sen sesaham.


"Daripada jumlah hasil penerbitan tawaran tersebut, HSS berhasrat menggunakan sebanyak RM2.57 juta untuk perbelanjaan modal (capex) bagi menaik taraf fasiliti pembuatan syarikat ini," tambahnya.


Selain itu ujar kumpulan berkenaan, kira-kira RM4.5 juta pula diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, manakala sebanyak RM2.93 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja semasa.


Baki RM3.5 juta akan menampung kos penyenaraian. Syarikat itu terlibat dalam aktiviti pembekalan produk bakeri, perdagangan produk bakeri dan produk lain serta pembuatan pelbagai produk bakeri.


Menurut HSS, pelan penaiktarafan fasiliti pembuatan termasuk pemasangan barisan pengeluaran biskut baharu, penambahbaikan barisan, automasi proses pengeluaran serta pemasangan kek secara automatik.


Pengarah Urusannya, Goh Chen Chang berkata, kumpulan itu membina asas kukuh dalam pasaran produk bakeri menerusi rangkaian produk luas, jaringan pengedaran mantap dan hubungan dengan pelanggan.


“Melalui IPO ini, kami menyasarkan untuk mampu memperkukuh keupayaan pengeluaran, meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong pertumbuhan berterusan perniagaan dalam jangka panjang,” katanya.


Bersempena pelancaran prospektus HSS, M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com