HSBC meramalkan ekonomi Malaysia pada 2026 kekal dalam pertumbuhan kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSBC meramalkan ekonomi Malaysia pada 2026 kekal dalam pertumbuhan kukuh

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mac — Walaupun prospek ekonomi Malaysia kekal positif, risiko luaran termasuk ketegangan geopolitik dan harga tenaga tinggi dijangka terus memberi tekanan jangka pendek, selain kedudukan ringgit yang dilihat semakin “mahal” berbanding asas ekonomi.


Menurut Perbankan Persendirian HSBC, ekonomi negara ini dijangka berkembang pada kadar 4.5% pada 2026, sedikit sederhana berbanding 4.9% pada 2025.


Pakar strategi pelaburan HSBC, Abhilash Narayan berkata, pertumbuhan itu disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan dalam infrastruktur serta pusat data, selain pemulihan sektor pelancongan.


“Walaupun harga tenaga yang tinggi dan konflik di Asia Barat menjadi cabaran, langkah dasar seperti subsidi bersasar dan kawalan harga membantu mengurangkan kesan kepada ekonomi,” katanya.
 

Abhilash Narayan
ABHILASH NARAYAN


Inflasi Terkawal, Kadar Faedah Dijangka Kekal


HSBC menjangkakan tekanan inflasi meningkat secara sederhana berikutan permintaan domestik yang kukuh, namun pertumbuhan gaji yang terkawal dijangka mengekang kenaikan harga.


Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang 2026, kecuali berlaku lonjakan ketara harga minyak.


Ringgit Kukuh, Namun Potensi Kenaikan Terhad


Dalam perkembangan lain, ringgit muncul antara mata wang terbaik di Asia berbanding dolar Amerika Syarikat tahun ini, disokong oleh aliran masuk pelaburan asing, lebihan akaun semasa serta repatriasi tukaran asing korporat.


Namun, HSBC berpandangan prestasi kukuh itu menyebabkan nilai ringgit kini agak tinggi berbanding fundamental.


Justeru, bank itu mengambil pendirian neutral dalam tempoh enam bulan akan datang, dengan jangkaan ringgit mencecah sekitar 3.85 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026.


Pasaran Saham Neutral Walaupun Ekonomi Kukuh


HSBC turut mengekalkan pandangan neutral terhadap pasaran ekuiti Malaysia dalam tempoh terdekat, walaupun asas ekonomi kekal kukuh.


Ini kerana sektor pertumbuhan tinggi seperti elektronik, semikonduktor dan pusat data masih kurang diwakili dalam indeks tempatan.


Ketika ini, saham Malaysia didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan hadapan sekitar 14.8 kali, sejajar purata lima tahun, dengan pertumbuhan pendapatan korporat diunjur hampir 9% pada 2026.
 

Willem Sels
WILLEM SELS


Strategi Pelaburan: Fokus Kepelbagaian


Dalam laporan prospek pelaburan suku kedua 2026 bertajuk 'Changing Narratives, Continued Opportunity', HSBC menekankan kepentingan kepelbagaian portfolio berbanding cubaan menentukan masa pasaran.


Ketua pegawai pelaburan globalnya, Willem Sels berkata, ketidaktentuan geopolitik menuntut pelabur membina portfolio lebih berdaya tahan merentasi pelbagai aset.


Antara strategi disyorkan termasuk pendedahan terpilih kepada dana lindung nilai, pasaran swasta, bon, mata wang, komoditi serta strategi pelbagai aset.


Secara keseluruhan, HSBC melihat Asia kekal sebagai sumber utama pertumbuhan jangka panjang, dengan Malaysia berada pada landasan kukuh meskipun berdepan cabaran luaran. - DagangNews.com