Hospital Ar-Ridzuan terajui inovasi pemeriksaan mata menggunakan teknologi AI pertama di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hospital Ar-Ridzuan terajui inovasi pemeriksaan mata menggunakan teknologi AI pertama di Perak

Hospital Ar-Ridzuan di Ipoh, Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 30 Dis - Hospital Ar-Ridzuan mencatatkan sejarah penting dalam penjagaan kesihatan di Perak apabila menjadi hospital pertama di negeri ini yang mengintegrasikan teknologi pemeriksaan mata berkuasa kecerdasan buatan (AI). 

 

Ini berikutan pelancaran kerjasama strategik dengan Nova MSC Berhad, sebuah syarikat teknologi penjagaan kesihatan terkemuka bagi memperkenalkan sistem pemeriksaan mata berinovasi, SELENA+.

 

SELENA+ yang dibangunkan oleh EyRIS, sebuah syarikat sekutu Nova MSC menggunakan teknologi menganalisis imej retina berwarna dan secara serentak mengesan tiga penyakit mata utama yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan jika tidak dikesan lebih awal.

 

Antaranya retinopati diabetik (DR), glaukoma dan degenerasi makula berkaitan usia (AMD).

 

Perak
Umaisalmah (kanan) semasa mengetuai Hospital Ar-Ridzuan dalam kerjasama dengan Nova MSC Berhad semasa Persidangan Antarabangsa APHM Healthcare di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jun lalu.
 

 

Pengenalan sistem canggih ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada proses manual yang memerlukan masa dan tenaga pakar. 

 

Dengan ketepatan melebihi 90% dalam pengesanan retinopati diabetik, SELENA+ dijangka meningkatkan kualiti penjagaan pesakit di Hospital Ar-Ridzuan serta memberi kesan positif kepada masyarakat di sekitar Ipoh dan kawasan sekitar.

 

Pengurus Besar Hospital Ar-Ridzuan, Umaisalmah Nawawi berkata, sistem pemeriksaan mata canggih ini adalah salah satu langkah strategik hospital untuk memastikan pesakit mendapat manfaat daripada teknologi terkini dalam penjagaan kesihatan.

 

Katanya, dengan SELENA+, pesakit dapat menjalani ujian saringan mata dengan lebih pantas dan tepat, sekali gus mengurangkan beban kepada pakar mata yang sering berhadapan dengan jumlah pesakit yang tinggi.

 

Perak
SELENA+ mengintegrasikan teknologi pemeriksaan mata berkuasa AI. 
 
Perak

 

 

“Sebagai sebuah hospital yang memberi penjagaan terbaik kepada pesakit, kami yakin bahawa teknologi AI akan mempercepatkan proses pengesanan penyakit dan membantu doktor dalam memberi rawatan yang lebih efektif. 

 

“Kami berharap dengan pengenalan SELENA+, Hospital Ar-Ridzuan dapat memberi impak yang besar dalam meningkatkan hasil kesihatan pesakit,” jelasnya kepada DagangNews.

 

Berkolaborasi dengan institusi terkemuka, SELENA+ dibangunkan melalui kerjasama antara Institut Penyelidikan Mata Singapura (SERI) dan Fakulti Pengkomputeran Universiti Nasional Singapura (NUS).

 

Ini menjadikannya teknologi yang telah diuji secara klinikal dan diterima pada peringkat antarabangsa. 

 

Sistem ini telah digunakan dalam program pemeriksaan mata di beberapa negara di seluruh dunia, mengukuhkan lagi kredibiliti teknologi ini di kalangan komuniti perubatan global.

 

Perak
SELENA+ menganalisis imej retina berwarna dan secara serentak mengesan tiga penyakit mata utama yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan - gambar Nova MSC.
 

 

Menurut Umaisalmah, selain mengesan penyakit mata, Hospital Ar-Ridzuan juga merancang untuk meluaskan penggunaan AI ini ke bidang lain, termasuk penilaian risiko kardiovaskular, pengesanan penyakit buah pinggang kronik, dan penilaian umur biologi.

 

Katanya, ia bertujuan memperbaiki pendekatan penjagaan kesihatan secara menyeluruh dan pencegahan awal.

 

“Penggunaan teknologi AI dalam penjagaan kesihatan semakin mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. 

 

“Hospital Ar-Ridzuan berusaha mengintegrasikan teknologi canggih ini dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada,” ujarnya. - DagangNews.com