KUALA LUMPUR 9 April – Anak syarikat milik penuh Hong Seng Consolidated Berhad, AIMAX Capital Sdn Bhd memeterai perjanjian penyelesaian hutang bagi memperoleh balik pinjaman berjumlah RM63.6 juta.
Penyelesaian hutang itu melibatkan empat peminjam, dan akan dilaksanakan melalui proses pemindahan hak milik sebanyak 184 unit apartmen servis Louvre Residence, yang terletak di Kajang, Selangor.
Kumpulan itu berkata, subsidiari tersebut yang dahulu dikenali sebagai Hong Seng Capital Sdn Bhd, akan menerima nilai penyelesaian yang dipersetujui secara bersama mencecah sebanyak RM62,483,700.
"Sementara baki perbezaan hutang berkenaan yang berjumlah RM1,122,307.36 akan diketepikan kemudian oleh pihak-pihak terlibat," kata Hong Seng dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut kenyataan kumpulan tersebut, peminjam yang terlibat dalam perjanjian berkenaan ialah Datuk Liu Han Ming, Chia Yan Mei, dan Nah Choon Jeck, serta sebuah syarikat iaitu Von Victory Sdn Bhd.
Jelasnya lagi, unit-unit hartanah yang akan dipindahkan tersebut merupakan aset berstatus pegangan bebas dengan jumlah keluasan binaan secara keseluruhan mencecah sebanyak 19,349 meter persegi.
Langkah pemindahan hak milik ini sebagai strategi pemulihan hutang yang lebih berkesan berbanding tuntutan tunai, selain mengurangkan risiko kerugian atau kemerosotan nilai akibat kelewatan bayaran.
"Usaha ini membolehkan kumpulan memiliki aset pada nilai diskaun dan berpotensi memberi keuntungan modal masa hadapan serta menjana pendapatan sewa berulang," tambah kenyataan lembaga pengarahnya.
Hartanah di Louvre Residence itu dianggap sebagai amat strategik kerana terletak berhampiran Country Heights, Kajang, dengan akses mudah melalui Lebuhraya SILK dan Lebuh Raya Utara-Selatan (NSE).
Cadangan penyelesaian ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham memandangkan nisbah peratusan tertinggi yang terlibat adalah 20.03%, iaitu di bawah ambang 25% yang ditetapkan Bursa Malaysia.
Proses penyelesaian ini dijangka siap menjelang suku kedua tahun 2026, dan Hong Seng juga menyatakan langkah ini tidak akan memberi kesan segera terhadap modal sahamnya. - DagangNews.com








