KUALA LUMPUR 29 Sept – Hong Leong Asset Management Bhd (HLAM) melancarkan dana pertumbuhan ekuiti global yang direka khas untuk membolehkan pelabur tempatan mengakses portfolio pelaburan antarabangsa yang pelbagai dan seimbang.
Dana ini menggabungkan dua strategi ekuiti global yang terbukti, merangkumi pelbagai gaya pelaburan termasuk nilai, pertumbuhan dan alam sekitar, sosial & tadbir Urus (ESG).
HLAM berkata, setiap komponen strategi diurus secara bebas oleh pasukan pelaburan khusus yang berpengalaman, dengan fokus kepada idea pelaburan berkeyakinan tinggi dalam mandat masing-masing.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HLAM, Chue Kwok Yan berkata, dengan persekitaran ekonomi global yang sentiasa berubah, pelabur tempatan semakin mencari penyelesaian yang kukuh dan seimbang.
"Dana ini memberikan pendedahan strategik kepada pasaran global sambil mengekalkan asas pelaburan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Dana ekuiti global ini dikendalikan secara profesional oleh Amundi Singapore Limited, pengurus dana luar yang dilantik. Amundi Singapore merupakan sebahagian daripada Amundi, pengurus aset terbesar di Eropah dan antara yang paling dipercayai di dunia, dengan jumlah aset di bawah pengurusan mencecah AS$2.7 trilion.
Gabungan kepakaran penyelidikan dan pelaburan dari pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Malaysia membolehkan dana ini menawarkan kualiti pelaburan bertaraf institusi kepada pelabur runcit tempatan.
Tiga Kelas Dana Ditawarkan
Dana ekuiti global yang kini sedia dilanggan melalui pejabat HLAM, rangkaian ejen di seluruh negara serta platform dalam talian HL iSmart Invest ditawarkan dalam tiga kelas runcit iaitu Kelas MYR – RM1.0000 seunit, Kelas MYR-Hedged – RM1.0000 seunit dan Kelas USD – AS$1.0000 seunit.
Pelaburan awal minimum ditetapkan pada 1,000 unit, manakala pelaburan tambahan berikutnya bermula dari 100 unit.
Dana ini direka untuk kekal seimbang dan terpelbagai, dengan matlamat menjana prestasi konsisten melalui pelbagai sumber pulangan.
HLAM menekankan pendekatan “best-ideas investing” akan membolehkan dana ini mengambil peluang daripada potensi pertumbuhan pasaran ekuiti global, sambil menguruskan risiko dengan strategi yang berdisiplin. - DagangNews.com








