HLIB turun taraf AWC kepada ‘pegang’ berikutan risiko di Timur Tengah tekan unjuran untung FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB turun taraf AWC kepada ‘pegang’ berikutan risiko di Timur Tengah tekan unjuran untung FY26

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac – Ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang berisiko menjejaskan prospek projek pelbagai syarikat Malaysia di rantau itu kini menjadi isu kritikal, termasuk ke atas AWC Berhad.


Justeru, Hong Leong Investment Bank (HLIB) bertindak berhati-hati dalam penilaian terhadap kumpulan tersebut dengan turut menurunkan penarafan sahamnya kepada ‘pegang’ berbanding ‘beli’ sebelum ini.


Firma penyelidikan itu mengurangkan juga unjuran pendapatan AWC bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 8% hingga 16%, susulan jangkaan pemulihan lebih perlahan dalam segmen alam sekitar.


"Ini khususnya melibatkan operasi di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran turut memberi kesan limpahan negatif," katanya.


HLIB dalam nota analisisnya menambah, dua pasaran utama AWC iaitu Arab Saudi dan UAE dikhuatiri terjejas serta boleh melambatkan pelaksanaan projek serta memperlahankan kadar peningkatan operasi.


Meskipun buku tempahan kumpulan itu kekal kukuh, ia melihat risiko penurunan terhadap unjuran FY26 memandangkan isu ketidaktentuan geopolitik boleh menjejaskan jadual pelaksanaan projeknya sendiri.


Berdasarkan perkembangan itu, ia menjangkakan keuntungan padaa FY26 sekitar RM23.4 juta, sejajar dengan prestasi FY25, tetapi adalah lebih rendah berbanding jangkaan awalnya kira-kira RM27 juta.


"Selain itu, unjuran hasil untuk segmen alam sekitar bagi FY26 turut disemak semula kepada hanya RM80 juta berbanding sasaran pihak pengurusan AWC sebelum ini sekitar RM100 juta," jelas HLIB.


Secara keseluruhan, unjuran keuntungan baharu firma itu bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing 15%, 8% dan 16%, dengan kini lebih rendah berada 20% hingga 25% di bawah anggaran konsensus pasaran.


Menurutnya, semakan turun itu berpunca daripada perbezaan masa pelaksanaan projek serta perubahan campuran geografi, bukannya kelemahan permintaan terhadap sistem pengumulan sisa automasi (AWCS).


Tambah HLIB, sumbangan hasil AWC bagi tempoh FY26 hingga FY28 dijangka lebih tertumpu kepada pasaran Malaysia dan Singapura berikutan ketidaktentuan situasi di rantau Timur Tengah ketika ini.


"Projek di situ memang menawarkan margin lebih tinggi, namun perubahan campuran geografi dijangka mengekalkan margin keuntungan kumpulan pada paras lebih rendah dalam tempoh unjuran," katanya.


Walaupun begitu, buku tempahan segmen alam sekitar kekal pada paras rekod RM224 juta, mengatasi puncak terdahulu RM190 juta, dengan peluang tambahan tertumpu kepada projek di Singapura.


HLIB turut menyatakan segmen kejuruteraan dan fasiliti menunjukkan momentum lebih baik pada separuh pertama FY26, dengan AWC dijangka mengekalkan kadar semasa serta berkembang secara beransur-ansur.


Perkembangan positif itu tambahnya, disokong empat kontrak, termasuk dua projek Jabatan Kerja Raya (JKR), tender pusat data Telekom Malaysia Berhad (TM) serta konsesi dari Kementerian Kerja Raya.


"Bagaimanapun kami menegaskan prestasi hasilnya masih banyak bergantung kepada segmen alam sekitar, dan sumbangan divisyen lain hanya mampu memberi penampan separa terhadap tekanan margin," jelasnya.


Sehubungan itu, HLIB  mengurangkan harga sasaran kepada 56 sen daripada 77 sen, berasaskan gandaan penilaian lebih rendah iaitu sembilan kali pendapatan FY26, berbanding 11 kali sebelum ini.


Perubahan tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, bagi mencerminkan risiko pelaksanaan yang lebih tinggi susulan ketidaktentuan berterusan di Timur Tengah memberi kesan besar berlarutan.


Katanya, sentimen pelabur terhadap syarikat Malaysia yang mempunyai pendedahan langsung ke Timur Tengah berkemungkinan kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com