KUALA LUMPUR 10 Julai - Syarikat penerbangan tambang rendah milik Cathay Pacific, HK Express Airways akan memulakan penerbangan hariannya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang mulai 1 Ogos depan.
Ketua wilayah Cathay Pacific Malaysia dan Brunei, Robbie Blackwood berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada pelan pengembangan operasinya di Malaysia
Tambahnya, syarikat optimis terhadap prospek sektor penerbangan Malaysia terutama apabila pasaran di Pulau Pinang menunjukkan ketahanan kukuh, terutamanya dalam segmen kargo.
"Pasaran Pulau Pinang menunjukkan prestasi memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini, terutamanya dalam kargo. Kami sentiasa memantau peluang laluan baharu dengan pasukan yang tangkas dan berwawasan di sini," katanya lapor Business Time.
Menurutnya, jaringan luas Cathay membolehkan mereka menawarkan laluan baharu serta menangani pelbagai keperluan kargo secara berkesan.
“Prestasi penumpang sangat menggalakkan dengan perjalanan santai kekal stabil dan perjalanan korporat mula pulih tahun ini,” katanya.
Cathay Pacific mengambil alih HK Express pada 2019 dan sejak itu giat memperluaskan operasinya di Malaysia.
"Apabila kami mula meneroka pasaran baharu, kami mulakan dengan Pulau Pinang melalui penerbangan harian ke Hong Kong sejak November lalu. Kini kami akan mengembangkan ke Subang, menjadikannya destinasi kedua HK Express di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, terdapat rancangan untuk beroperasi dari lapangan terbang lain di Malaysia, terutama di kawasan pelancongan popular, namun butirannya masih belum diumumkan.
Beliau juga menyifatkan Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan utama seiring dengan pengembangan Cathay di rantau ini.
Ketika ini, Cathay mengendalikan tujuh penerbangan penumpang dan tiga penerbangan kargo seminggu dari Pulau Pinang manakala HK Express pula menawarkan penerbangan harian dari lokasi sama.
Cathay turut mengekalkan kehadiran kukuh di KLIA dengan tiga penerbangan penumpang setiap hari.
Bagi operasi di Subang, HK Express akan menggunakan pesawat berkapasiti sederhana selaras dengan model tambang rendah mereka, berkemungkinan daripada keluarga A320 termasuk A321neo, namun masih belum dimuktamadkan.
"Pemilihan Subang adalah kerana lokasinya yang berdekatan pusat bandar memberi pilihan untuk penumpang yang ingin terbang selepas waktu kerja kerana ketika ini, Cathay beroperasi pagi, tengah hari dan awal petang dari KLIA,” katanya.
Sementara itu, buat julung kali di Malaysia, Cathay Pacific menjalinkan kerjasama dengan pemaju hartanah tempatan, Paramount Property, bagi mengukuhkan jenama mereka.
Melalui kempen "Traverse with Paramount" itu, akan memberi ganjaran antara 10,000 hingga 40,000 mata Asia Miles kepada pembeli hartanah di lapan projek Paramount yang terpilih.- DagangNews.com








