KUALA LUMPUR 14 Julai - Hextar World memeterai perjanjian bersama lapan penyewa utama baharu menjelang pembukaan rasmi pusat beli-belah itu di Empire City.
Antara jenama yang bakal menjadi tarikan utama ialah Village Grocer, Miami Beach yang juga taman tema air tertutup terbesar di Malaysia, Jungle Gym, Ballet Theatre Malaysia, Sport Planet, Playa Racquet Club, La Boca, dan 91 Sports Arena.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar Group, Datuk Eddie Ong berkata, pihaknya berbangga untuk mengalu-alukan kedatangan lapan jenama itu yang akan menawarkan gaya hidup dan hiburan yang berprestij di pusat beli belah tersebut.
“Kehadiran semua jenama ini akan memperkukuhkan lagi peranan Hextar World sebagai destinasi gaya hidup dan hiburan yang lengkap.
“Dengan tarikh pelancaran yang semakin hampir, kami yakin Hextar World mampu menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung dan menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan pusat beli-belah moden yang memenuhi impian pengunjung,” katanya dalam kenyataan.
Village Grocer, salah satu pasar raya premium paling popular di Malaysia akan membuka cawangan berkeluasan di aras bawah manakala Miami Beach yang berkeluasan 15,000 meter persegi pula menyediakan pelbagai gelongsor air, tarikan air interaktif serta pantai buatan dalam bangunan yang pertama dalam negara negara.
Jungle Gym iaitu rangkaian taman permainan dalam bangunan terbesar di Malaysia turut akan membuka kawasan permainan seluas lebih 1,114 meter persegi untuk keseronokan peminatnya.
Dalam segmen seni dan budaya, Ballet Theatre Malaysia iaitu syarikat balet profesional pertama negara akan memperkenalkan lokasi baharunya di Hextar World bagi mencungkil lebih banyak bakat penari muda.
Bagi kategori sukan dan rekreasi pula, Playa Racquet Club akan memperkenalkan konsep pickleball berinspirasikan pantai manakala 91 Sports Arena akan menawarkan gelanggang pickleball premium, latihan, pengurusan fasiliti dan penganjuran kejohanan.
Sport Planet pula akan menjadi hab jenama pelbagai untuk sukan dan fesyen manakala La Boca pula akan menarik minat pengunjung dengan pengalaman kulinari autentik Amerika Latin yang penuh rasa dan budaya.
Beliau berkata, kesemua penyewa baharu ini menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat daripada keluarga hingga komuniti aktif selaras dengan visi Hextar World sebagai ‘The Exploratorium’ iaitu destinasi yang menggalakkan penemuan, inovasi, kesalinghubungan komuniti, hiburan, pengembaraan serta gaya hidup sihat.
“Hextar World bukan sekadar destinasi membeli-belah, sebaliknya ia dibangunkan berasaskan konsep “bandar 15 minit” iaitu pengunjung boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti (membeli-belah, hiburan, sukan, Pendidikan dan makanan) dalam satu kawasan yang boleh diakses dengan mudah.
“Ia menawarkan ruang dinamik untuk pengunjung meneroka minat baharu, membina hubungan bermakna serta menikmati pelbagai pengalaman unik dalam satu lokasi yang serba lengkap,” katanya. - DagangNews.com








