Hextar Capital raih subkontrak kerja geoteknikal & tanah RM75.9 juta bagi projek Kem Kabota di Tawau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Capital raih subkontrak kerja geoteknikal & tanah RM75.9 juta bagi projek Kem Kabota di Tawau

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac – Hextar Capital Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM75.9 juta untuk melaksanakan kerja-kerja geoteknikal dan tanah bagi projek pembinaan kem tentera di Tawau, Sabah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata projek tersebut diperolehi menerusi anak syarikatnya, Legacy Core Sdn Bhd.

 

“Projek di Kem Kabota itu bermula pada 16 Mac 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Sementara itu Pengarah urusan Hextar Capital, Johnson Chang berkata, kejayaan memperoleh kontrak itu adalah satu lagi kemajuan strategik bagi kumpulan tersebut dalam memperluaskan kehadirannya di Malaysia Timur.

 

“Perolehan projek besar ini merupakan langkah penting dalam mengukuhkan kehadiran operasi kami di Sabah. Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan untuk masa akan datang,” katanya.

 

Hextar Capital menjelaskan, kontrak itu tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan dan struktur pegangan saham syarikat.

 

Namun begitu, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan serta aset bersih sesaham kumpulan sebaik sahaja kerja dimulakan.

 

Lembaga pengarah syarikat turut memaklumkan bahawa tiada sebarang faktor risiko ketara dikenal pasti selain risiko operasi biasa bagi projek pembinaan.

 

Selain itu, kontrak berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

 

Dalam masa sama, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com